Bandar Seri Begawan, Khamis, 05 Zulkaedah 1447 bersamaan 23 April 2026–Dalam usaha memperkukuhkan penghayatan dan pengamalan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB) dalam kalangan penjawat awam agar selaras dengan tuntutan tugas harian serta aspirasi negara, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia (BPPSM), Jabatan Pentadbiran dengan kerjasama Kementerian Pendidikan melalui Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja menganjurkan Ceramah Melayu Islam Beraja Dalam Tugas Seharian Penjawat Awam bagi kakitangan Bahagian IV dan V Kementerian Hal Ehwal Ugama. Ceramah tersebut diadakan pada pagi tadi di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Kira-kira 120 orang terdiri daripada warga Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menyertai ceramah ini. Penyertaan yang memberangsangkan ini mencerminkan komitmen tinggi dalam kalangan kakitangan di kementerian ini untuk meningkatkan kefahaman serta penghayatan terhadap konsep MIB dalam perkhidmatan awam.
Ceramah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd. Khairul Azhar bin Haji Idris, wakil daripada Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja, yang telah mengongsikan panduan praktikal dalam mengaplikasikan prinsip-prinsip MIB dalam pelaksanaan tugas seharian.
Melalui penganjuran ceramah seumpama ini, para peserta diharap akan terus menghayati serta mengamalkan nilai-nilai MIB secara konsisten, sekali gus menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan awam yang cemerlang, berintegriti dan berlandaskan identiti negara.
Ceramah ini juga akan dilaratkan pelaksanaannya ke semua kementerian di Negara Brunei Darussalam sebagai usaha memperkasa budaya kerja berteraskan MIB. Inisiatif ini merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuhkan dan pengamalan nilai-nilai MIB dalam perkhidmatan awam.
Foto:BPAAM