Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM HAYYA ILAL ‘ARABIYYAH:  SEKOLAH ARAB RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK DAMIT BAGI TAHUN 1447H / 2026M

23 April 2026

PROGRAM HAYYA ILAL ‘ARABIYYAH: SEKOLAH ARAB RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK DAMIT BAGI TAHUN 1447H / 2026M

Bandar Seri Begawan, Khamis, 05 Zulkaedah 1447 bersamaan 23 April 2026–Bagi memupuk minat serta memperkukuh kemahiran penggunaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar sekolah Arab, Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SA RIPAD) pagi tadi mengadakan Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) dengan bertemakan “Kembara Ilmu dan Budaya Islam" yang diadakan di sekolah berkenaan. 

Sejajar dengan tema tersebut, program ini bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberikan pengalaman bermakna kepada para pelajar dalam mengenali dan menghayati budaya Islam. Di samping itu, untuk memupuk minat dan keberanian bertutur dalam Bahasa Arab serta menyemai semangat persaingan sihat dan kerjasama dalam kalangan pelajar.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Md Syahiran bin Haji Md Sofian, Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.  Diikuti dengan Doa Selamat serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Disusuli ucapan daripada Yang Mulia Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut, Guru Besar Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Acara diteruskan dengan perasmian program, tayangan video dan lawatan ke reruai-reruai pameran selain dimeriahkan lagi dengan penyertaan para pelajar dalam aktiviti pembelajaran interaktif (fun learning).

Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) merupakan salah satu inisiatif Jabatan Pengajian Islam yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah Arab bagi mengukuhkan penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar.

 

Foto: JPI​