Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

TAKLIMAT KESIHATAN BAGI BAKAL JEMAAH HAJI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM  BAGI MUSIM HAJI TAHUN 1447H/2026M

19 April 2026

TAKLIMAT KESIHATAN BAGI BAKAL JEMAAH HAJI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BAGI MUSIM HAJI TAHUN 1447H/2026M

Jerudong, Ahad, 01 Zulkaedah 1447 bersamaan 19 April 2026-Bagi memberikan panduan penjagaan kesihatan sebelum dan semasa menunaikan Ibadat Haji serta meningkatkan kesedaran mengenai langkah-langkah pencegahan penyakit ketika berada di Tanah Suci, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Haji dengan kerjasama Kementerian Kesihatan pagi tadi mengadakan Taklimat Kesihatan bagi Bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

Taklimat ini merupakan antara inisiatif Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Haji dengan Kementerian Kesihatan sebagai persediaan awal bagi memastikan bakal Jemaah Haji berada dalam tahap kesihatan yang baik sebelum bertolak ke Tanah Suci.

Selain itu, taklimat berkenaan juga bertujuan untuk memberikan maklumat berkaitan penjagaan kesihatan, khususnya bagi jemaah wanita, serta menjelaskan perkhidmatan perubatan yang disediakan di Tanah Suci. Di samping itu, bakal Jemaah Haji turut diingatkan agar mematuhi segala peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan Ibadat Haji.

Taklimat disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Nurhasanuddin bin Abdullah Kelali dan Yang Mulia Dr. Haji Fakhruddin bin Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim melalui tajuk “Taklimat Penjagaan Kesihatan dan Perkhidmatan Perubatan di Tanah Suci".  Manakala, taklimat “Kesihatan Wanita" disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Rasita binti Haji Abdul Rahman dan Yang Mulia Dr. Hani Ariaty binti Haji Awang Tengah.

Bagi Musim Haji tahun ini, seramai 20 orang pegawai Perubatan Negara Brunei Darussalam terdiri daripada enam (06) orang doktor dan empat belas (14) orang jururawat telah dilantik sebagai Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan) yang akan mengiringi bakal Jemaah Haji Negara.​