Bandar Seri Begawan, Rabu, 26 Syawal 1447 bersamaan 15 April 2026–Sebagai tanda kesyukuran atas selesainya proses penelitian tafsiran lengkap 30 juz Al-Qur'an Al-Karim oleh Panel Masyaikh, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama pagi tadi mengadakan Majlis Penandatanganan dan Doa Kesyukuran Projek Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya.
Majlis yang diadakan di Dewan Sutra, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong ini telah disempurnakan oleh
Tetamu Kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama. Turut hadir ialah ahli-ahli Panel Masyaikh, jemputan khas, wakil agensi-agensi penyemakan serta pegawai-pegawai dan individu yang terlibat secara langsung dalam menjayakan projek berkenaan.
Projek Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya merupakan usaha berterusan Kementerian Hal Ehwal Ugama sejak tahun 2007 dalam menghasilkan tafsir Al-Qur'an yang komprehensif dan sesuai dengan konteks masyarakat di negara ini. Projek ini diperkukuhkan lagi pelaksanaannya oleh Urus Setia Penerbitan Tafsir Mushaf Brunei Darussalam, Pusat Da'wah Islamiah selepas kejayaan penerbitan Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya pada Mei 2013.
Dalam menjayakan projek ini, seramai 20 orang penyusun tafsir yang terdiri daripada lepasan Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir dalam bidang Usuluddin telah terlibat, termasuk penyusun tetap serta penyusun draf tafsir secara berkontrak. Penyusunan tafsir dilaksanakan secara berperingkat melalui beberapa peringkat utama, termasuk perbincangan redaksi, penyemakan oleh agensi-agensi berkaitan dan penelitian oleh Panel Masyaikh.
Setakat ini, sebanyak 19 juz telah berjaya diterbitkan, iaitu Juz 1 hingga Juz 18 dan Juz 30, manakala keseluruhan tafsiran lengkap 30 juz telah selesai melalui proses penelitian oleh Panel Masyaikh pada Februari 2026. Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang dalam menjayakan projek ini, di samping memohon keberkatan serta kelancaran bagi proses pencetakan dan penerbitan tafsiran Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya sehingga lengkap 30 Juz.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.
Seterusnya Tetamu Kehormat majlis, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan ucapan yang antara lain menyatakan bahawa Alhamdulillah usaha penterjemahan mushaf negara yang mula dilaksanakan pada bulan Jun 2007 dan jilid pertamanya yang mengandungi juzu' 1–3 telah berjaya diterbitkan. Ia seterusnya telah dilancarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an pada 17hb Ramadhan 1430H bersamaan 6hb September 2009M. Maka ternyata usaha menyelesaikan terjemahan 30 juzu' selengkapkanya telah memakan masa hampir enam tahun (Jun 2007 – Julai 2013."
Seterusnya, Yang Berhormat menambah bahawa Projek tafsiran ini menjadi sangat penting apabila ia merupakan hasrat yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan semenjak tahun 2013 melalui perutusan Baginda dalam terbitan Mushaf Brunei Darussalam dan Maknanya yang lengkap tiga puluh juzu' setebal lebih seribu enam ratus muka surat, iaitu supaya usaha selanjutnya dilakukan oleh anak tempatan menghasilkan tafsiran huraian terjemahan mushaf yang telah diterbitkan. Baginda maklum ia suatu usaha yang akan memakan waktu dan kegigihan dan azam, in syaa Allah akan berhasil.
Tambahan Yang Berhormat, Oleh itu Pusat Da'wah Islamiah (PDI) telah berikhtiar dengan mendapatkan tenaga-tenaga tambahan bagi mempercepat proses penyusunan dan semakan rang tafsiran. Satu pasukan kerja tambahan untuk itu telah didapatkan bersama dengan dua orang pegawai yang kesemua sementara untuk satu jangka waktu yang ditetapkan dengan diketuai oleh dua orang pegawai, seorang untuk mengetuai pasukan khas itu dan seorang lagi sebagai penolongnya. Mereka juga bertugas secara sementara untuk satu tempoh yang pendek. Langkah berani PDI ini saya akui sebagai langkah yang tepat bagi suatu tasking atau taklif untuk menyampaikan hajat mempercepat penyiapan rang tafsir yang juga melalui proses yang sama sebelum dimuktamadkan sebagai tafsiran yang terpakai bagi terbitan Mushaf Brunei Darussalam dan Tafsirannya yang kita syukuri ketersediaannya, yakni keselesaiannya untuk diterbitkan lengkap tiga puluh juzu' dengan acara Majlis yang kita hadiri ini.
Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi penandatanganan pengesahan penelitian oleh Panel Masyaikh sebagai simbolik kepada selesainya proses penelitian tafsiran tersebut. Majlis diserikan lagi dengan tayangan video pendek projek serta penyampaian sijil penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran.
Adalah diharapkan agar penerbitan tafsir ini akan menjadi rujukan penting dalam membantu umat Islam memahami, menghayati serta mengamalkan isi Al-Qur'an dalam kehidupan seharian, seterusnya memperkukuhkan aqidah dan jati diri serta kesejahteraan umat Islam di Negara Brunei Darussalam.














Foto: PID