Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS SUNG BARAYA BASAMO MUALLAF DI DAERAH TUTONG

14 April 2026

MAJLIS SUNG BARAYA BASAMO MUALLAF DI DAERAH TUTONG

Tutong, Selasa, 25 Syawal 1447 bersamaan 14 April 2026-Bagi memeriahkan sambutan bulan Syawal di samping mengeratkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan saudara-saudara baru, Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Persatuan Saudara-Saudara Baru Daerah Tutong (PESATU) pagi tadi mengadakan Majlis Sung Baraya Basamo Muallaf di Dewan Serbaguna Bangunan PESATU, Kampung Tanjong Panjang, Tutong.

Majlis tersebut merupakan pertemuan muhibah yang menghimpunkan para Muallaf dan masyarakat bukan Islam (non-muslim) dalam suasana penuh harmoni dan kemesraan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. Selain menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuh persefahaman antara masyarakat, majlis seumpama ini juga berperanan sebagai medium dakwah dalam menyemai penghayatan nilai-nilai ajaran Islam melalui sambutan salah satu hari kebesaran agama Islam. 

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Hamdani bin Haji Othman, Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Turut hadir, Yang Mulia Awang Mohammad Azaman Shah bin Haji Sahari, Penghulu Mukim Tanjong Maya Tutong; Yang Mulia Awang Soon Seng Lee, Pengarah Sekolah Chung Hwa; Yang Mulia Awang Johan bin Benson, Yang Di-pertua Pakatan Sang Jati Dusun; ketua-ketua kampung di Daerah Tutong serta pegawai dan kakitangan Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong dan ahli-ahli Persatuan Saudara-Saudara Baru Daerah Tutong (PESATU).

Majlis dimulakan dengan sesi bergambar ramai, diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Didi Sufian bin Haji Masri, Tenaga Pengajar Kelas Bimbingan Muallaf PESATU.  Disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Hasbie Azrol bin Abdullah Liat, Yang Di-Pertua PESATU selaku Pengerusi Bersama Majlis. 

Seterusnya, penyerahan cenderahati daripada Pusat Da'wah Islamiah kepada Non-Muslim oleh Tetamu

Kehormat Majlis, diikuti dengan penyampaian cenderahati daripada PESATU kepada Tetamu Kehormat

Majlis. Majlis turut diserikan dengan persembahan Lagu-Lagu Hari Raya oleh PESATU sebelum diakhiri

dengan pameran kraftangan serta jualan Muallafpreneurs.

 

Foto: PDI​