Rimba, Ahad, 23 Syawal 1447 bersamaan 12 April 2026–Dalam memperkukuh perpaduan dan mengeratkan hubungan ukhuwah serta silaturahim sempena bulan Syawal, Kementerian Hal Ehwal Ugama pagi tadi mengadakan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Warga Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Tahun 1447H / 2026M bertempat di Dewan Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Rimba.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama serta Datin.
Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji lbrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan isteri; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama dan isteri; dan Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abdul Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) dan isteri.
Majlis turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan, para pegawai kanan dan kakitangan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama serta golongan Muallaf, para belia dan beliawanis Muallaf, belia dan beliawanis masjid dan muslimah masjid.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Selamat. Majlis turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Belia-Belia Masjid Senegara.
Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama serta Datin; Yang Mulia Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin; Yang Mulia Setiausaha Tetap; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama serta jemputan-jemputan khas dan para pegawai kanan berpeluang berdudun dan beramah mesra bersama warga Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan berkunjung ke setiap reruai (booth) dan menikmati juadah yang disediakan. Acara kemuncak majlis ialah pengumuman dan penyampaian hadiah bagi kategori serambi tercantik.
Seiring dengan usaha menyemarakkan sambutan hari-hari kebesaran Islam di negara ini, khususnya di peringkat kementerian, acara ini turut berperanan sebagai wadah kegiatan sosial dan kebajikan bagi warga Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memupuk nilai-nilai murni serta mengukuhkan institusi kekeluargaan.














Foto: JPI