Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-224

11 April 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-224

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 23 Syawal 1447 bersamaan 11 April 2026Dalam dunia hari ini, kehidupan kita tidak terpisah daripada teknologi. Setiap hari kita berinteraksi dengan pelbagai bentuk klik sama ada di telefon pintar, media sosial atau ketika berkongsi maklumat. Namun, setiap klik yang kita lakukan membawa nilai yang tersendiri: ada klik yang membawa manfaat dan pahala seperti berkongsi ayat-ayat Al-Quran, nasihat agama, ilmu serta menghubungkan silaturrahim.  Ada juga klik yang membawa dosa seperti membuka aib orang, menonton perkara haram, menghina atau mengejek orang lain.  Dan tidak kurang juga klik yang mengundang fitnah apabila kita menyebarkan maklumat yang belum pasti kesahihannya sehingga menimbulkan keresahan, kekeliruan dan keraguan dalam masyarakat. Oleh itu, sebelum kita menekan butang klik, share atau send, tanyalah diri kita: adakah ia benar, bermanfaat, dan mendekatkan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, atau sebaliknya? Pastikan setiap klik dilakukan dengan niat yang baik, melalui tapisan yang teliti dan dengan penuh tanggungjawab agar kita tidak menjadi punca tersebarnya fitnah. Jadikan prinsip hidup kita, khususnya dalam bulan Syawal yang penuh keberkatan ini, bahawa setiap klik hendaklah yang bermakna dan mendekatkan kita kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, bukan sesuatu yang menjauhkan kita daripada-Nya.

Demikian antara intipati Tazkirah bertajuk Syawal Berkat, Klik Bermakna" disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Fansuri Sharimi @ Haji Mansur bin Mohamad Ali, Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas selaku Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-224 pada malam tadi.

Menyemarakkan acara Munajat kali ini ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, jemaah dan Ahli Kumpulan Ashabul Haliim, Belia Masjid Pengiran Muda 'Abdul Malik, Kampung Tungku/Katok; dan para jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga individu yang mengikuti program ini dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Khairi bin Haji Hassan, Ketua Kampung Tungku/Katok selaku Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda 'Abdul Malik, Kampung Tungku/Katok yang bersiaran dari Masjid berkenaan.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Zulfadli bin Haji Awang, Imam Masjid Pengiran Muda 'Abdul Malik, Kampung Tungku/Katok, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhd Hijrajul Nizam bin Alawi, Imam Masjid Pengiran Muda 'Abdul Malik, Kampung Tungku/Katok, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohamad Shahmie bin Mohammad Sani, Ketua Kumpulan Ashabul Haliim, Belia Masjid Pengiran Muda 'Abdul Malik, Kampung Tungku/Katok. 

Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Morni bin Haji Nayan, Pegawai Hal Ehwal Masjid selaku Pengerusi Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda 'Abdul Malik, Kampung Tungku/Katok, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.