Kiarong, Jumaat, 21 Syawal 1447 bersamaan 10 April 2026–Meskipun bulan Syawal kini memasuki minggu ketiga, kemeriahannya masih terus dirasai apabila Kumpulan Belia Masjid Senegara mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang turut diselajurkan dengan Majlis Penyerahan Surat Lantikan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Senegara bagi Sesi 2026-2028 serta Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Tertinggi bagi Sesi 2024-2026 yang diadakan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Acara ini diadakan antara lain bertujuan untuk mengukuhkan hubungan silaturrahim sesama insan, di samping memupuk nilai kasih sayang dan budaya saling bermaaf-maafan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengekalkan istiqamah dalam melaksanakan amal ibadah selepas bulan Ramadan, sekali gus meningkatkan ketakwaan dan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian surat lantikan kepada Ahli Jawatankuasa Tertinggi Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Senegara bagi Sesi 2026-2028 ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Melalui pengajuran majlis seumpama ini, Kumpulan Belia Masjid Senegara berharap agar Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dapat memberikan kesan yang positif serta manfaat kepada semua jemputan yang hadir. Semoga segala usaha yang dilaksanakan mendapat keberkahan dan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dunia dan akhirat.