Beribi, Jumaat, 21 Syawal 1447 bersamaan 10 April 2026–Dalam usaha memperkukuh jalinan persaudaraan di samping menyemai budaya bermaaf-maafan sempena bulan Syawal ini, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei I, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi mengadakan Majlis Ramah Mesra Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Dewan Cheenta by Maszalina, Kampung Beribi.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Siti Halimatul Saadiah binti Haji Wahsalfelah, Pegawai Pengajian Islam Daerah Brunei I, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Selain bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai Jabatan Pengajian Islam bersama para pemimpin dan guru Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei I, majlis ini juga diadakan bagi menyemarakkan lagi suasana Hari Raya Aidilfitri.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Amran bin Haji Majid. Diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Awang Mohammad Halidi bin Awang Haji Besar, Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Besar selaku Pengerusi Majlis. Acara turut diserikan dengan persembahan lagu-lagu Hari Raya serta cabutan nama bertuah.





Foto: JPI