Brunei dan Muara, Khamis, 21 Syawal 1447 bersamaan 09 April 2026-Statistik pengislaman di Negara Brunei Darussalam terus menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan apabila seramai 80 orang telah memeluk agama Islam di negara ini sejak awal tahun hingga 07 April 2026 dengan 35 orang daripadanya adalah dari Daerah Brunei dan Muara.
Seiring dengan perkembangan tersebut, seorang lelaki berbangsa Cina, Chan Ho Huat, berusia 72 tahun, telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam satu Majlis Pengislaman yang diadakan malam tadi di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Chan Ho Huat kemudiannya dengan penuh khusyuk, melafazkan Dua Kalimah Syahadah serta memilih nama Islam Muhammad Adam Chan bin Abdullah.
Majlis disempurnakan di hadapan para pegawai dan kakitangan Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah. Acara diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu yang diraikan, di samping diserikan dengan Dikir Marhaban dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.