Berakas, Rabu, 19 Syawal 1447 bersamaan 08 April 2026–Sejak Kutipan Sumbangan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dibukakan melalui perkhidmatan SMS dari tahun 2015 hingga 2025, Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam telah berjaya mengutip sebanyak BND$2,114,287.00.
Sehingga bulan Mac 2026, baki keseluruhan kutipan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam ialah sebanyak BND$30,300,986.17. Sejak awal penubuhan Tabung Dana sehingga kini, Tabung Dana telah berjaya melaksanakan 03 buah projek pembinaan masjid baharu, 02 buah projek tambahan bangunan masjid, dan 03 buah projek pemuliharaan. Pada ketika ini, (02) buah projek pembinaan masjid baharu sedang giat dilaksanakan iaitu pembinaan Masjid Baharu Kampung Lamunin, Daerah Tutong dan Masjid Baharu Kampung Ukong, Daerah Tutong. Insya Allah 03 buah projek pembinaan masjid baharu telah dirancang dengan menggunakan peruntukan Tabung Dana ini.
Orang ramai sekali lagi berpeluang untuk menyumbang ke Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam melalui Perkhidmatan Pesanan Ringkas atau SMS bagi tempoh selama sembilan (9) bulan bermula pada hari ini, Rabu, 08 April 2026 hingga 31 Disember 2026.
Sumbangan seangkat-angkat hati boleh disalurkan melalui perkhidmatan SMS dengan menaip MASJID dengan diikuti 100, 50, 20, 15, 10, 5 atau 1 tanpa jarak dan hantar ke talian 38111 bagi pengguna DST dan Progresif, manakala 39999 bagi pengguna Imagine Sendirian Berhad.
Sehubungan itu, pagi tadi telah berlangsung Majlis Pelancaran Perkhidmatan SMS Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam Tahun 2026 yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam. Majlis ini diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.


Mengiringi Tetamu Kehormat bagi pelancaran perkhidmatan SMS Tabung Dana tersebut ialah Yang Mulia Radin Sufri Radin Basiuni, Ketua Pegawai Eksekutif DST Sendirian Berhad; Yang Mulia Abdul Hakeem bin Haji Basir, Ketua Pegawai Pentadbiran, Progresif Sendirian Berhad; dan Yang Mulia Awang Mohamed Hazman bin Dato Paduka Awang Haji Othman, wakil dari Imagine Sendirian Berhad. Turut mengiringi, Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid selaku Ketua Urusetia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam dan Yang Mulia Awang Cheong Chee Keong, Pemangku Pengarah Radio Televisyen Brunei.
Majlis Pelancaran Perkhidmatan SMS ini diserikan dengan tayangan video klip Promo Perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam. Diikuti dengan acara penghantaran sumbangan melalui SMS beramai-ramai oleh para hadirin.
Acara diteruskan dengan Majlis Penerimaan Sumbangan Hasil Kutipan Perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam bagi Tahun 2025M.
Sejumlah BND$121,622.00 telah berjaya dikutip melalui penerimaan sumbangan perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam yang telah dibukakan selama sepuluh (10) bulan bermula 27 Mac 2025 hingga 31 Disember 2025 yang lalu.
Yang Mulia Radin Sufri Radin Basiuni, Ketua Pegawai Eksekutif DST Sendirian Berhad menyerahkan sumbangan hasil kutipan perkhidmatan SMS sebanyak BND$91,501.00. Diselajurkan dengan penyampaian sumbangan dari Datastream Digital Sendirian Berhad (DST) sebanyak BND$10,000.00 untuk Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.


Manakala Progresif Sendirian Berhad yang diwakili oleh Yang Mulia Abdul Hakeem bin Haji Basir, Ketua Pegawai Pentadbiran telah menyerahkan sebanyak BND$28,375.00 dari hasil kutipan perkhidmatan SMS. Manakala, hasil sumbangan dari Progresif juga turut disampaikan iaitu sebanyak $1,000.00.
Sementara Imagine Sendirian Berhad yang diwakili oleh Yang Mulia Awang Mohamed Hazman bin Dato Paduka Awang Haji Othman telah menyerahkan BND$5,000.00 yang mana setiap jumlah tersebut adalah kutipan yang berjaya dikumpul sepanjang tempoh kutipan dibukakan.

Adapun Penubuhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam adalah dihasratkan menjadi wadah kekal bagi orang-orang Islam untuk menabung pahala dengan membina masjid, sekaligus sebagai satu peluang keemasan untuk bertanam saham di akhirat. Pelancaran dana tersebut memberi peluang kepada umat Islam di negara ini untuk menginfaqkan (membelanjakan) harta yang dimiliki dengan niat sebagai ibadah dan melipatgandakan amal kebajikan semata-mata bagi meraih ganjaran pahal yang dijanjikan Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada orang-orang yang membina masjid. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala menerima segala amalan kita semua.





Foto: JHEM dan BPAAM