Belait, Ahad, 16 Syawal 1447 bersamaan 05 April 2026–Hari Raya Aidil Fitri disambut sebagai hari kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan. Dalam usaha mempererat ukhuwah serta menyemarakkan syiar Islam, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pengembangan Da'wah (Da'wah Khas) dan Cawangan Da'wah Daerah Belait pagi tadi menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri bersama penghuni Rumah Panjang Kampung Teraja serta penduduk kampung sekitarnya yang terdiri daripada saudara-saudara baru (Muallaf) dan masyarakat bukan Islam.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Muhammad Faiq bin Haji Rani, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Turut hadir, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, dan Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah selaku Ketua Rombongan dari Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk menyemarakkan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidil Fitri bersama Muallaf, di samping memperkenalkan keindahan dan nilai-nilai murni perayaan Islam kepada masyarakat bukan Islam. Majlis ini juga berperanan sebagai platform untuk mempereratkan lagi hubungan silaturahim antara penghuni Rumah Panjang Kampung Teraja dan penduduk kawasan sekitarnya, sama ada masyarakat Islam, Muallaf mahupun bukan Islam dengan para pegawai dan kakitangan Pusat Da'wah Islamiah.
Selain sesi ramah mesra, atur cara majlis juga dimuatkan dengan penyampaian hamper dan saguhati kepada saudara-saudara baru dan masyarakat bukan Islam di kawasan berkenaan.









Foto: PDI