Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM HAYYA ILAL ‘ARABIYYAH:  SEKOLAH UGAMA ARAB MENENGAH PEREMPUAN RAJA ISTERI  PENGIRAN ANAK HAJAH SALEHA, KATOK BAGI TAHUN 1447H / 2026M

02 April 2026

PROGRAM HAYYA ILAL ‘ARABIYYAH: SEKOLAH UGAMA ARAB MENENGAH PEREMPUAN RAJA ISTERI PENGIRAN ANAK HAJAH SALEHA, KATOK BAGI TAHUN 1447H / 2026M

Katok, Khamis, 13 Syawal 1447 bersamaan 02 April 2026–Dalam usaha memperkasa dan memperkukuh penggunaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar sekolah Arab, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) pagi tadi telah mengadakan Program Hayya Ilal 'Arabiyyah (Mari Berbahasa Arab) dengan tema “Kegembiraan Hari Raya Dengan Bahasa Arab" yang diadakan di sekolah berkenaan.

Program ini bertujuan untuk menggalakkan para pelajar menggunakan Bahasa Arab dalam aktiviti Sambutan Hari Raya, di samping memberi peluang untuk menghayati nilai-nilai murni seperti semangat perpaduan, kegembiraan dan kesyukuran, sekali gus memperkukuh penguasaan Bahasa Arab.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Profesor Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad, Pemangku Timbalan Rektor (Hal Ehwal Akademik), Universiti Islam Sultan Sharif Ali.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan oleh Yang Mulia Ali Moustafa Ali Saghir, tenaga pengajar sekolah berkenaan serta ucapan daripada Yang Mulia Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Md Zinin, Pemangku Pengetua Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Acara kemudiannya diteruskan dengan persembahan daripada para pelajar, tayangan video serta sesi kunjungan ke booth Rumah Terbuka Mata Pelajaran.

Program dianjurkan oleh Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi mendukung matlamat melahirkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.​