Pulaie, Khamis 29 Ramadan 1447 bersamaan 19 Mac 2026–Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah meneruskan lagi Program Siri Tadabbur Al-Qur'an Kali Ke-9 bagi minggu keempat dan terakhir di bulan Ramadan bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah.
Bertemakan “Menuju Wawasan 2035: Langkah Belia, Jejak Al-Anbiya" bagi siri tahun ini bertujuan memperkasakan generasi muda melalui penghayatan kisah para nabi dalam Al-Qur'an selaras aspirasi Wawasan Brunei 2035, serta menekankan peranan belia sebagai ejen perubahan berpandukan wahyu dalam menghadapi cabaran semasa. Program ini telah diadakan secara mingguan sepanjang Ramadan, program ini menyediakan platform mesra belia untuk mendalami tadabbur Al-Qur'an, memupuk kecintaan terhadap Islam melalui perkongsian tematik, menjadikan para nabi sebagai teladan, dan menghidupkan majlis ilmu serta mengeratkan silaturrahim antara ahli Belia Da'ie, alumni Akademi Da'wah dan orang awam.
Program ini dimulakan dengan muqaddimah oleh Yang Mulia Awang Mohamed Syarif Abbas bin Awang Haji Mohd. Zaini, diikuti bacaan dan terjemahan Surah Yusuf, ayat 55–57 yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Hazmi bin Haji Razab. Seterusnya, kuliah Tadabbur bertemakan “Menuju Wawasan 2035: Menyumbang dalam Ketahanan dan Ketaatan" disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Fuad bin Matahir, Penolong Pensyarah Ekonomi Islam dan Kewangan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Inti pati kuliah antara lain menekankan isu budaya jalan pintas yang mengutamakan kejayaan secara segera tanpa perancangan rapi, yang boleh menyebabkan hala tuju pembangunan ekonomi menjadi kurang jelas dan tidak berdaya tahan. Oleh itu, golongan belia perlu bergerak secara selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, iaitu ke arah pembentukan ekonomi yang dinamik, mampan dan berdaya tahan. Dalam hal ini, kisah Nabi Yusuf 'alaihi al-salām dapat dijadikan teladan, khususnya apabila Baginda merancang penyimpanan hasil pertanian ketika musim subur sebagai persediaan menghadapi musim kemarau. Prinsip perancangan strategik tersebut memberi pengajaran bahawa belia perlu mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah, membina kemahiran serta pengetahuan sebelum menceburi bidang keusahawanan, dan merancang pembangunan kerjaya secara beretika. Pendekatan ini penting bagi memastikan pembangunan ekonomi yang dicapai bersifat kukuh, mampan dan berpanjangan.
Program Siri Tadabbur Al-Qur'an 9.0 minggu terakhir kali ini turut diserikan dengan sesi giveaway bertemakan “Walaupun Hanya Satu Ayat…", di mana tiga (3) peserta terawal yang secara sukarela berkongsi ibrah, pendapat, refleksi atau pengajaran daripada ceramah telah menerima hadiah berupa hamper. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan serta sesi bergambar ramai.
Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan kehadiran seramai 50 orang peserta. Rakaman penuh program tersebut boleh didapati di akaun Instagram rasmi Belia Da'ie (@beliadaie).

Foto: PDI