Berakas, Khamis, 6 Syawal 1447H bersamaan 26 Mac 2026-Seorang Al-Hafiz Negara, Yang Mulia Awang Muhammad Ekram 'Afif bin Haji Awang Mohd Hanafi, alumni Ma'had Qiraat Shoubra, Universiti Al-Azhar, petang tadi sampai ke Negara Brunei Darussalam bagi memenuhi jemputan sebagai Imam Solat Sunat Tarawih di Japan Da'wah Centre, Osaka, sepanjang bulan Ramadan 1447 Hijrah.
Yang Mulia Awang Muhammad Ekram 'Afif bersama 11 orang rakan huffaz daripada Universiti Sains Islam Malaysia telah berkhidmat sebagai Imam Solat Sunat Tarawih di beberapa buah masjid dan balai ibadat sekitar bandar raya Osaka. Mereka dijadualkan berada di Osaka selama 38 hari, iaitu bermula 16 Februari 2026 hingga 25 Mac 2026.
Sepanjang keberadaan di sana, Yang Mulia Awang Muhammad Ekram 'Afif bukan sahaja dilantik sebagai Imam Tarawih bahkan juga menyampaikan tazkirah kepada para jemaah, di samping terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan program kerohanian yang dianjurkan oleh Japan Da'wah Centre, Osaka Jepun.
Lebih membanggakan lagi, beliau telah diberi penghormatan mengimamkan sembahyang sunat Aidilfitri dan menyampaikan khutbah di masjid baru Japan Da'wah Centre di Wakayama, Jepun yang akan dirasmikan pada bulan Oktober nanti. Beliau juga diberi penghormatan sebagai khatib Jumaat terakhir bulan Ramadan yang disampaikan dalam Bahasa Inggeris.
Sepanjang berada di Japan Da'wah Centre Osaka Japan, pelbagai aktiviti keugamaan telah dihadiri seperti mengenali budaya Jepun, mempelajari bahasa Jepun, menghadiri pengislaman warga Jepun, menghadiri pernikahan warga Islam Jepun, memberi pengenalan berkaitan Negara Brunei Darussalam, membuat lawatan ke beberapa buah universiti di Osaka Jepun serta diberi peluang mengunjungi tempat-tempat bersejarah dan menarik di sekitar Osaka Jepun.
Penghantaran ini bertujuan memberi peluang kepada para huffaz Al-Qur'an untuk mengaplikasikan kemahiran hafazan dan bacaan dalam konteks komuniti antarabangsa. Pada masa yang sama, inisiatif ini dihasratkan untuk melahirkan Imam Tarawih yang berkemahiran dan profesional, di samping meningkatkan keyakinan diri dalam penyampaian tazkirah serta pengisian rohani.
Program penghantaran Al-Hafiz Negara Brunei Darussalam ini merupakan usaha Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Qur'an MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kolaborasi bersama IQRA' Centre for Ummah, Universiti Sains Islam Malaysia, dan Japan Da'wah Centre, Osaka, Jepun.
Selain memperluaskan pengalaman dakwah di luar negara, usaha ini juga berperanan mengukuhkan jaringan kerjasama antara Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Qur'an MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam dengan institusi-institusi antarabangsa yang terlibat. Secara keseluruhannya, inisiatif ini diyakini dapat memartabatkan syiar Islam serta memperkukuh imej institusi dan negara di persada antarabangsa.
Pelaksanaannya turut mendapat sokongan strategik daripada Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. melalui sumbangan Skim Perlindungan Takaful Kembara, serta El-Abqari Travel & Tours Sdn. Bhd. yang menaja tiket penerbangan.


Foto: PPPQ