Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KETETAPAN 01 SYAWAL 1447 HIJRAH BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DAN MAJLIS MENUNGGU HASIL MERUKYAH ANAK BULAN SYAWAL 1447 HIJRAH

19 March 2026

KETETAPAN 01 SYAWAL 1447 HIJRAH BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM DAN MAJLIS MENUNGGU HASIL MERUKYAH ANAK BULAN SYAWAL 1447 HIJRAH

Berakas, Khamis, 29 Ramadan 1447 bersamaan 19 Mac 2026–Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dengan ini memaklumkan bahawa ketetapan 01 Syawal 1447 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam akan jatuh pada hari Sabtu, 01 Syawal 1447 Hijrah bersamaan 21 Mac 2026 Masihi.

Hasil Merukyah Anak Bulan Syawal 1447 Hijrah pada petang tadi telah diumumkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri.  Sehubungan dengan itu, Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri bagi tahun 1447 Hijrah pada hari Sabtu, 01 Syawal 1447 Hijrah bersamaan 21 Mac 2026 Masihi.

Permakluman tersebut adalah hasil persidangan mengenai keputusan merukyah anak bulan Syawal 1447 Hijrah pada tahun ini dari tempat-tempat yang ditentukan dan ketetapan persidangan tersebut telah disembahkan ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Persidangan yang diadakan di Bilik As'syura, Tingkat 1, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga dihadiri oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan; serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Majlis Ugama Islam Brunei.     

Pada tahun ini, lima (5) buah lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Syawal 1447 Hijrah, iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara di Bangunan Mutiara Exchange, Lebuhraya Tungku;  Taman Rekreasi Tanjung Batu, Kampung Sabun, Pekan Muara; dan Bukit Agok, Jerudong.  Manakala bagi Daerah Tutong bertempat di Bangunan Hilal Bukit Ambog;  dan bagi Daerah Belait ialah di Bangunan Hilal Bukit Lumut. 

Terdahulu, Majlis Menunggu Hasil Merukyah Anak Bulan Syawal 1447 Hijrah diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis Menunggu Hasil Merukyah Anak bulan Syawal 1447 Hijrah dimulakan dengan persembahan bacaan Al-Qur'an oleh Yang Mulia Awang Ahmad Adib bin Dr Haji Sufri, Pelajar Tahun 10, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba, Johan Pertandingan Tilawah Al-Qur'an Kategori [BA] (Tarannum) Kali Ke-59, Tahun 2025 anjuran Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Diikuti dengan Tazkirah Syawal yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Hilman bin Haji Salim, Penolong Pensyarah, Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Seterusnya, bacaan Tahlil dan Doa Arwah serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Amin bin Haji Salim, Ketua Pemantau Zon 3, Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang kemudiannya mengimamkan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Azan Maghrib dikumandangkan oleh Yang Mulia Awang Razman bin Haji Ramlee, Bilal Tingkat 1, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang.

Sehubungan dengan itu, Sembahyang Sunat Hari Raya Aidil Fitri akan diadakan pada hari Sabtu, 01 Syawal 1447 Hijrah bersamaan 21 Mac 2026 Masihi di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bermula pukul 7.30 pagi.

 

Foto: PDI