Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KUNJUNGAN MUHIBAH HARI RAYA AIDIL FITRI PERKUKUH HUBUNGAN BRUNEI–SINGAPURA

22 March 2026

KUNJUNGAN MUHIBAH HARI RAYA AIDIL FITRI PERKUKUH HUBUNGAN BRUNEI–SINGAPURA


Kampung Sungai Besar, Ahad, 02 Syawal 1447 bersamaan 22 Mac 2026– Tuan Yang Terutama Associate Professor Dr. Muhammad Faishal Ibrahim, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Menteri Negara Kanan bagi Kementerian Ehwal Dalam Negeri Republik Singapura, berserta delegasi kini berada di Negara Brunei Darussalam bagi mengadakan kunjungan muhibah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

Lawatan rasmi selama tiga (3) hari bermula 22 hingga 24 Mac 2026 tersebut bertujuan untuk terus memelihara keakraban hubungan dua hala yang sekian lama terjalin, di samping meneroka peluang kerjasama baharu dalam suasana penuh harmoni dan muhibah antara kedua-dua buah negara.

Dalam rangka lawatan tersebut, Tuan Yang Terutama Associate Professor Dr. Muhammad Faishal Ibrahim dan isteri telah mengadakan kunjungan ke kediaman Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman di Kampung Sungai Besar bagi Majlis Ramah Mesra Sempena Hari Raya Aidilfitri.

 

Kunjungan tersebut turut disertai oleh Tuan Zhulkarnain bin Abdul Rahim, Menteri Negara bagi Kementerian Luar merangkap Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Republik Singapura berserta isteri; Puan Lee Hui Ying, Ahli Parlimen bagi Nee Soon Group Representation Constituency; serta Tuan Yip Wei Kait, Bakal Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam bersama Tuan Guo Weimin, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura.

Majlis ramah mesra tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri.

 

Turut hadir menyerikan majlis ialah beberapa orang Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan isteri; Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin dan isteri; Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan; dan Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap serta pegawai-pegawai kanan kementerian.

 

Bagi menghargai kunjungan muhibah tersebut, majlis turut diserikan dengan sesi pertukaran cenderahati antara Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Tuan Yang Terutama Associate Professor Dr. Muhammad Faishal Ibrahim sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan sempena sambutan Aidilfitri yang mulia ini.