Berakas, Rabu, 28 Ramadan 1447 bersamaan 18 Mac 2026–Wakaf merupakan satu daripada amalan sedekah yang sangat-sangat dituntut dalam Islam. Sepertimana amalan sedekah yang lain, amalan ini dijanjikan dengan ganjaran yang amat besar oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala kepada pewakafnya. Lebih istimewa lagi, pahala wakaf bersifat berpanjangan, iaitu terus mengalir selagi harta yang diwakafkan masih wujud dan dapat dimanfaatkan, meskipun pewakafnya telah kembali ke rahmatullah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Ehwal Ugama pagi tadi menerima sumbangan wakaf berupa sebanyak 439 buah kerusi lipat daripada Keluarga dan Kumpulan Hamba Allah bagi keperluan di Masjid, Surau dan Balai Ibadat seluruh negara. Majlis Penyerahan Kerusi Wakaf tersebut diadakan di Bilik Mawar, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Penyerahan wakaf kerusi lipat tersebut telah disampaikan oleh wakil-wakil pewakaf kepada Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap kementerian Hal Ehwal Ugama, sebelum diserahkan seterusnya kepada wakil-wakil masjid.
Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan wakaf berkenaan ialah Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd. Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid serta pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid.








Foto: JHEM