Kiarong, Ahad, 25 Ramadan 1447 bersamaan 15 Mac 2026-Ibadah Qiamullail merupakan antara amalan sunat yang sangat dituntut dalam Islam, lebih-lebih lagi pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, sebagai usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta memohon keampunan dan rahmat daripada-Nya.
Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama menganjurkan Program Qiamullail Ramadan Tahun 1447H/2026M pada awal pagi tadi bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong sebagai masjid tumpuan utama di Daerah Brunei dan Muara. Manakala masjid-masjid utama di tiga daerah lain iaitu Daerah Tutong, di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; Daerah Belait, di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; dan Daerah Temburong, di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Antara yang hadir pada Qiamullail Ramadan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong pada awal pagi tadi ialah Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet dan Yang Mulia Timbalan-Timbalan Menteri bersama para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari kementerian-kementerian, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei serta Belia Daie', Belia-Beliawanis Masjid, Muslimah Masjid dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid. Turut sama mengimarahkan lagi Qiamullail Ramadan ialah para jemaah di kalangan orang awam.
Qiamullail Ramadan diisi dengan Sembahyang Sunat Tasbih berjemaah diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong. Diikuti dengan bacaan Wirid dan Doa Sembahyang Sunat Tasbih. Kemudiannya, bacaan Doa Munajat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Haris bin Haji Suboh, Pegawai Hal Ehwal Masjid Tingkat Khas.
Qiamullail Ramadan ini juga bertujuan mengajak umat Islam agar bersama-sama mengimarahkan masjid serta menghidupkan malam-malam Ramadan dengan pelbagai amalan ibadah seperti sembahyang berjemaah, qiamullail, zikir dan doa. Di samping itu, ia turut berperanan membudayakan amalan beribadah secara berjemaah dalam kalangan masyarakat, sekali gus menyemarakkan semangat untuk merebut keberkatan serta keistimewaan bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini, apatah lagi ketika Ramadan semakin menghampiri penghujungnya.
Di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Mulia Awang Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Jabatan Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; di Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait, hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Mulia Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Jabatan Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; dan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar hadir ialah Yang Mulia Awang Hassan Baha bin Haji Umar, Pemangku Pegawai Daerah Temburong.



Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong


Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait



Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar Temburong
Foto: JHEM, PHEU Daerah Temburong