Katok, Sabtu, 24 Ramadan 1447 bersamaan 14 Mac 2026–Bagi menyemarakkan lagi penghayatan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan Majlis Penutup Tadarus dan Khatam Al-Quran bagi para pegawai dan kakitangannya di Surau Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok pada pagi tadi.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Turut hadir, para pegawai kanan, pegawai serta kakitangan Jabatan berkenaan.
Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah serta bacaan ayat-ayat lazim yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Sahat. Diteruskan dengan bacaan tahlil serta Doa Khatam Al-Quran dan kemudiannya diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan Pegawai di Jabatan Pengajian Islam.
Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma kepada empat (4) orang anak yatim dalam kalangan anak-anak warga Jabatan Pengajian Islam. Penyampaian sumbangan tersebut merupakan antara aktiviti muhibah tahunan Jabatan Pengajian Islam bagi sama-sama menyemarakkan bulan Ramadan di samping membuat persiapan menyambut kedatangan bulan Syawal yang bakal menjelang dengan penuh rahmat serta mengharapkan keredaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.