Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM IFTAR MAHABBAH ANJURAN PEJABAT CAWANGAN DA’WAH DAERAH TUTONG

14 March 2026

PROGRAM IFTAR MAHABBAH ANJURAN PEJABAT CAWANGAN DA’WAH DAERAH TUTONG

Tutong, Sabtu, 24 Ramadan 1447 bersamaan 14 Mac 2026–Sebagai salah satu usaha mempergiatkan aktiviti dakwah di samping mempereratkan hubungan kemasyarakatan serta memupuk persefahaman yang harmoni antara masyarakat Islam dan bukan Islam (non-muslim), Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi menganjurkan Program Iftar Mahabbah sempena bulan Ramadan bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.

Program Iftar Mahabbah ini disertai oleh 50 orang terdiri daripada ahli-ahli persatuan Masyarakat Tiong Hua dan non-muslim sekitar Daerah Tutong yang terpilih.  Hadir sama selaku ketua rombongan bagi program tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Penganjuran program ini merupakan satu peluang untuk memperkenalkan keindahan ajaran Islam serta menzahirkan nilai-nilai murni bulan Ramadan kepada masyarakat bukan Islam, khususnya melalui pengalaman berbuka puasa (Iftar) secara bersama. Melalui suasana kebersamaan ini, para peserta diharapkan dapat memahami penghayatan Ramadan sebagai bulan yang menekankan nilai kesyukuran, kesederhanaan, kebajikan dan perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat.

Program dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Najib bin Haji Ibrahim, mahasiswa Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang bertugas di Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong.

Seterusnya, ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Program, Yang Mulia Dayang Zikrinaidah binti Haji Mat Dikir, Ketua Cawangan Da'wah Daerah Tutong. Program turut diisikan dengan beberapa aktiviti interaktif antaranya demonstrasi Majlis Pengislaman, Praktikal Wudhu, Try Wearing (Songkok dan Tudung), Azan, Praktikal Sembahyang serta Khat Kaligrafi.  Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati berupa plak Pusat Da'wah Islamiah kepada Ketua Persatuan Masyarakat Tiong Hua yang disampaikan oleh ketua rombongan program dan kemudiannya bersungkai bersama-sama.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Dayang Queenie Chong Chin Yee, Ahli Majlis Mesyuarat Negara; Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Sengkarai, Tutong; Yang Mulia Awang Salim bin Haji Othman, Penghulu Mukim Pekan Tutong; Yang Mulia Awang Soon Seng Lee, Ketua Persatuan Masyarakat Tiong Hua; Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah; serta pegawai dan kakitangan Pusat Da'wah Islamiah dan Cawangan Da'wah Daerah Tutong.​