Belait, Khamis, 22 Ramadan 1447 bersamaan 12 Mac 2026-Dalam usaha memperkukuh penghayatan bulan Ramadan dalam kalangan saudara-saudara baru melalui pengisian ibadah secara berjemaah serta bimbingan amali yang berterusan, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan Program Bertadarus Al-Qur'an, Bersungkai dan Sembahyang Sunat Tarawih serta Witir bersama Muallaf yang diadakan di Masjid Kampung Labi dan Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait.
Ketua rombongan bagi program tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Rombongan berkenaan turut disertai oleh pegawai dan kakitangna Bahagian Pengembangan Da'wah dan Bahagian Pembangunan Muallaf, Pusat Da'wah Islamiah.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan sesi tadarus Al-Qur'an dan disusuli Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Majlis diteruskan dengan menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib serta Isya' berjemaah, dan diikuti Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir berjemaah.
Program Bertadarus Al-Qur'an, Bersungkai dan Sembahyang Sunat Tarawih serta Witir bersama Muallaf ini bertujuan untuk membimbing para Muallaf mendalami bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an serta menghayati amalan qiyam Ramadan dengan lebih yakin dan sempurna. Selain itu, program ini juga menjadi wadah mengeratkan ukhuwah serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan peserta.
Di samping itu, penganjuran program seumpama ini mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan dalam membimbing dan memperkasa jati diri Muslim dalam kalangan Muallaf agar mereka terus istiqamah dalam menghayati ajaran Islam.