Kiulap, Jumaat, 23 Ramadan 1447 bersamaan 13 Mac 2026–Dengan hasrat untuk menggalakkan para Muallaf agar terus bergiat aktif menyemarakkan malam-malam di bulan Ramadan melalui amalan bertadarus Al-Quran, di samping menanamkan semangat tekun dan sabar dalam kalangan mereka untuk mempelajari serta memperbaiki bacaan Al-Quran sehingga mampu menamatkan tadarus hingga khatam, petang tadi diadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Saudara-Saudara Baru bertempat di Dewan Salma 2, Impiana Complex, Kiulap.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Melalui bimbingan yang diberikan, para Muallaf diharapkan akan terus terdorong untuk mempelajari serta memperbaiki bacaan Al-Quran dengan lebih tekun dan bersungguh-sungguh, memandangkan penguasaan bacaan Al-Quran amat penting dalam kehidupan setiap umat Islam.
Sehubungan itu, saudara-saudara baru wajar terus diberikan dorongan serta bimbingan yang berterusan agar mereka dapat terus istiqamah dalam membaca dan mendalami Al-Quran. Mudah-mudahan melalui usaha yang berterusan ini, keberkatan Al-Quran akan menyentuh hati nurani mereka, dan seterusnya menjadikan mereka dalam kalangan yang sentiasa mendekatkan diri kepada Al-Quran semata-mata kerana Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta mengharapkan keredaan-Nya.
Majlis ini merupakan aktiviti tahunan yang diadakan pada setiap bulan Ramadan. Pada tahun ini, majlis dianjurkan oleh gabungan Persatuan Nurul Islam Daerah Brunei Muara dan Al-Quran One Day One Page, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta keluarga Awang Haji Baki bin Haji Muhd Salleh dan Hajah Dayang Siliah binti Yusof.