Sungai Besar, Jumaat, 23 Ramadan 1447 bersamaan 13 Mac 2026–Dalam menyemarakkan lagi hari-hari terakhir bulan suci Ramadan, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, Doa Arwah Sekampung serta Majlis Penyampaian Derma kepada Anak-Anak Yatim dan Golongan Kurang Berkemampuan. Majlis tersebut diadakan di Masjid Kampung Sungai Besar, Daerah Brunei dan Muara.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan derma ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Majlis pada petang itu diisikan dengan bacaan Tahtim, Doa Khatam, Doa Tahlil serta Dikir Marhaban. Diikuti dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan di kawasan Kampung Sungai Besar. Sumbangan tersebut merupakan hasil keprihatinan dan semangat “kongsi rezeki" daripada penduduk kampung serta orang ramai.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam sebelum para hadirin berbuka puasa (iftar) dan menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk menggalakkan budaya membaca Al-Quran dalam kalangan jemaah dan penduduk kampung. Selain itu, ia juga menjadi platform penting dalam memperkukuh ukhuwah (persaudaraan) serta memastikan golongan yang memerlukan tidak dilupakan dalam menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.