Bandar Seri Begawan, Jumaat, 23 Ramadan 1447 bersamaan 13 Mac 2026–Bagi menyemai nilai empati dalam kalangan belia terhadap golongan yang memerlukan di negara ini, Kumpulan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengadakan program bersepadu bertajuk RAMADAN CARE: Lakastah Sungkai dan Belia Masjid Santuni Anak Yatim yang membawa tema Belia Prihatin, Ummah Disantuni. Program diadakan di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong pada petang tadi.
Di samping memupuk nilai keprihatinan dan empati dalam kalangan belia terhadap golongan yang memerlukan, khususnya anak-anak yatim, program ini juga bertujuan menggalakkan penglibatan aktif belia dalam aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, serta mengeratkan jalinan ukhuwah antara belia masjid dan masyarakat setempat.
Penganjuran program ini turut menggabungkan elemen kerohanian, kebajikan dan ukhuwah dalam satu platform yang berimpak tinggi, sekali gus mengimarahkan masjid sebagai pusat penyatuan masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Program tersebut diisikan dengan beberapa aktiviti utama antaranya aktiviti interaktif, majlis ilmu serta penyerahan sumbangan derma kepada 30 orang anak yatim dari Mukim Gadong B.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim ialah Yang Mulia Awang Haji Asminan bin Haji Chuchu, Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid.
Adalah diharapkan agar penganjuran program seumpama ini akan terus memberi impak positif kepada masyarakat dengan memperkukuhkan nilai dakwah, kebajikan dan ukhuwah dalam kalangan generasi belia.