Bandar Seri Begawan, Jumaat, 23 Ramadan 1447 bersamaan 13 Mac 2026–Lailatul Qadar ialah malam yang sangat istimewa dalam bulan Ramadan, yang disebut dalam Al-Quran sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam ini menjadi saat turunnya rahmat, keampunan dan ketentuan Allah Subhanahu Wa Ta'ala bagi hamba-Nya.
Walaupun tarikh tepatnya tidak diberitahu secara khusus, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam mengajarkan umat Islam supaya mencarinya pada sepuluh malam terakhir Ramadan, khususnya pada malam-malam ganjil 21, 23, 25, 27 dan 29. Hikmahnya ialah agar umat Islam terus bersungguh-sungguh beribadah dan tidak hanya menunggu satu malam tertentu sahaja.
Perkara tersebut antara intipati Tazkirah Subuh bertajuk "Bilakah Malam Al-Qadar" yang disampaikan oleh Yang Mulia Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyerikan Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' yang diadakan pada awal pagi tadi di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Wirid serta Tazkirah Subuh.
Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak umat Islam di negara ini agar memakmurkan masjid melalui amalan beribadah secara berjemaah, pengajian ilmu dan pelaksanaan aktiviti keagamaan. Di samping membentuk masyarakat yang berdisplin, bertanggungjawab serta saling menghormati, program ini juga berperanan menanam rasa cinta terhadap masjid sebagai rumah Allah. Selain itu, untuk memupuk semangat Negara Zikir dan Negara Berkat melalui penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara berasaskan nilai-nilai Islam.
Foto: JHEM