Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM SIRI TADABBUR AL-QUR’AN KALI KE-9 BAGI MINGGU KETIGA:  LAKASTAH MAJU, AMAL SOLEH PUN MESTI LAJU

12 March 2026

PROGRAM SIRI TADABBUR AL-QUR’AN KALI KE-9 BAGI MINGGU KETIGA: LAKASTAH MAJU, AMAL SOLEH PUN MESTI LAJU

Pulaie, Khamis 22 Ramadan 1447 bersamaan 12 Mac 2026–Dalam usaha memperkukuhkan penghayatan Al-Qur'an melalui pendekatan tadabbur yang lebih mendalam serta memupuk kecintaan terhadap Islam melalui perkongsian secara tematik dengan menjadikan kisah para Al-Anbiya' sebagai teladan, Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi meneruskan Program Siri Tadabbur Al-Qur'an Kali Ke-9 bagi Minggu Ketiga bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah.

Program Siri Tadabbur kali ini membawa tema Kehidupan yang Berkualiti Tinggi dan dimulakan dengan muqaddimah oleh Yang Mulia Dayang Nur Haziyah binti Haji Awang Mohd Taha. Diikuti dengan bacaan Surah An-Naml, Ayat 17 hingga 19 beserta terjemahannya oleh Yang Mulia Awang Mohammad Norhadi Yussof @ Yusreen bin Abdullah.

Seterusnya, Kuliah Tadabbur bertajuk Lakastah Maju, Amal Soleh Pun Mesti Laju yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Hajah Sarinah binti Haji Yahya, Penolong Profesor, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Kuliah tersebut antara lain menelusuri kisah Nabi Sulaiman 'alaihissalam dalam menyingkap makna kehidupan yang berkualiti melalui sifat baginda yang sentiasa merendah diri dan tunduk patuh kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala walaupun dikurniakan kemajuan serta kekuasaan yang besar pada zaman baginda. Di samping itu, kuliah tersebut turut menekankan kepentingan memupuk sikap bersyukur serta istiqamah dalam melakukan amal soleh secara berterusan sebagai usaha merealisasikan tujuan hidup manusia sebagai hamba Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan khalifah di muka bumi. Nilai-nilai ini juga menjadi kekuatan penting dalam membangunkan sebuah negara yang berpaksikan keimanan dan amal soleh.

Program diteruskan dengan sesi soal jawab bersama penceramah bagi merungkaikan persoalan yang dibangkitkan oleh para peserta. Acara turut dimeriahkan dengan sesi kuiz interaktif. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang kuiz dan penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan sebelum sesi bergambar ramai.

Program Siri Tadabbur Al-Qur'an pada tahun ini tampil dengan tema baharu iaitu Menuju Wawasan 2035: Langkah Belia, Jejak Al-Anbiya sebagai satu inisiatif memperkasa peranan generasi muda melalui penghayatan kisah para Al-Anbiya' di dalam Al-Qur'an, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035. Tema ini menekankan peranan belia sebagai ejen perubahan yang bukan sahaja berorientasikan pembangunan negara, bahkan berpaksikan panduan wahyu dalam mendepani cabaran semasa.

Program Siri Tadabbur Al-Qur'an ini juga dirancang khusus bagi mewujudkan suasana mesra dan inklusif antara golongan belia dengan masyarakat awam. Program ini diadakan pada setiap hari Khamis selama empat minggu berturut-turut sepanjang bulan Ramadan dengan tujuan menghidupkan majlis ilmu di samping mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli Belia Da'ie, alumni Akademi Da'wah dan orang ramai.

Program yang diadakan pada petang tadi mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran seramai lebih kurang 50 orang peserta. Rakaman penuh program tersebut boleh didapati di laman Instagram rasmi Belia Da'ie (@beliadaie).​