Jerudong, Khamis, 22 Ramadan 1447 bersamaan 12 Mac 2026–Bagi mencapai hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menginginkan agar rakyat dan penduduk negara ini menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lengkap, pendidikan ugama terus diberikan keutamaan bagi melahirkan generasi yang berilmu, beriman dan berakhlak yang menyumbang kepada kemajuan negara di samping memelihara identiti dan falsafah Melayu Islam Beraja. Pendidikan Inklusif di Negara Brunei Darussalam turut diberi perhatian bagi memastikan semua murid termasuk Murid Berkeperluan Khas mendapat peluang untuk mengikuti pembelajaran di sekolah dengan sokongan yang bersesuaian serta menikmati hak pendidikan yang sama.
Sehubungan dengan itu, bagi memastikan Murid Berkeperluan Khas di Persekolahan Ugama mendapat Pendidikan Ugama sewajarnya, Jabatan Pengajian Islam melalui Bahagian Pendidikan Khas Ugama petang tadi menganjurkan Program Ta'lim bertajuk Konsep Inklusiviti Dalam Pengajaran sebagai usaha untuk meningkatkan profesionalisme serta memperkukuhkan kemahiran pedagogi dalam kalangan Guru-Guru Pendidikan Khas Ugama.
Program yang dilaksanakan selama 12 hari sejak 21 Februari lalu dan telah melibatkan seramai 94 orang tenaga pengajar ugama di bawah Jabatan Pengajian Islam.
Antara objektif program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada Guru-Guru Pendidikan Khas Ugama mengenai konsep Pendidikan Inklusif Ugama selaras dengan keperluan Murid Berkeperluan Khas, di samping meningkatkan kefahaman tentang ciri-ciri Murid Berkeperluan Khas serta strategi pengajaran yang sesuai dan mesra Murid Berkeperluan Khas. Program juga bertujuan memperkasa guru dengan pendekatan pengajaran kreatif dan multisensori, pengurusan tingkah laku serta amalan penilaian yang bersesuaian, di samping menyemai nilai kesabaran, empati dan ihsan dalam kalangan Guru Pendidikan Khas Ugama.
Sebagai penghargaan, majlis penyampaian sijil bagi program berkenaan telah diadakan di Dewan Sekolah Ugama Jerudong petang tadi.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Noor Rasidah binti Haji Sharbini, Pemangku Penolong Pengarah (Institusi Pengajian), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara pada hari tersebut turut diselajurkan dengan Majlis Penutup Tadarus Al-Quran bagi Guru-Guru Pendidikan Khas Ugama sempena mengimarahkan bulan Ramadan ini.