Bandar Seri Begawan, Khamis, 22 Ramadan 1447 bersamaan 12 Mac 2026–Bagi menyemarakkan lagi penghayatan bulan suci Ramadan serta meraih keberkatan di bulan yang penuh kemuliaan ini, Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei I pagi tadi mengadakan Majlis Penutup Tadarus Sempena Bulan Ramadan bagi Guru-Guru dan Kakitangan Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei I. Majlis diadakan di Surau Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Masna, Bandar Seri Begawan.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin, Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan Bacaan Selawat Tafrijiah, diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Khas Majlis. Diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim, disusuli bacaan Takhtim, Tahlil dan Doa Khatam Al-Quran dan kemudiannya, Dikir Marhaban.
Acara diteruskan dengan penyampaian derma khairat kepada seramai 48 orang anak yatim dari kalangan murid Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei I yang disempurnakan oleh Tetamu Khas Majlis.
Acara merupakan aktiviti tahunan Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei I bagi menzahirkan nilai keprihatinan terhadap anak-anak yatim serta wadah bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warga pendidik.