Tungku, Khamis, 22 Ramadan 1447 bersamaan dengan 12 Mac 2026–Dalam usaha merebut ganjaran pahala pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, pelbagai pihak di negara ini giat mengadakan Majlis Khatam Al-Quran serta pelbagai acara keagamaan yang lain bagi menghidupkan malam-malam yang penuh keberkatan tersebut.
Sehubungan itu, Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam pagi tadi mengendalikan Majlis Khatam Al-Quran bagi Kelas Bimbingan Muslimah Seluruh Negara sempena Tadarus Al-Quran di Bulan Ramadan Tahun 1447H/2026M bertempat di masjid berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Datin Hajah Binanun binti Haji Bungso, Isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis diadakan bertujuan untuk meningkatkan amal ibadat dalam bulan Ramadan, khususnya melalui pembacaan Al-Quran. Ia juga dihasratkan untuk mendorong para muslimah agar terus mengamalkan pembacaan Al-Quran sehingga Khatam, di samping mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan muslimah masjid.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat. Diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran, Doa Khatam dan Takhtim. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Dengan terlaksananya program ini, diharapkan para Muslimah dapat terus melazimkan diri dengan amalan ibadah melalui membaca dan menghayati Al-Quran serta berzikir dan tahlil, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.