Kampung Bukit Sawat, Rabu, 21 Ramadan 1447 bersamaan 11 Mac 2026–Dalam suasana umat Islam giat mempertingkatkan amal ibadat serta memakmurkan masjid di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini bagi merebut ganjaran pahala yang berlipat ganda dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala, pelbagai pengisian keagamaan terus diadakan.
Pada petang tadi, rombongan daripada Jabatan-Jabatan Kerajaan Daerah Belait meneruskan Majlis Bertadarus sempena Bulan Ramadan di Masjid-Masjid Daerah Belait Tahun 1447H / 2026M dengan mengunjungi Masjid Kampung Bukit Sawat, Daerah Belait. Majlis Tadarus Al-Quran tersebut diselenggarakan bersama oleh Jabatan Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, dan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Rombongan Bertadarus Al-Quran petang tadi diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, Pemangku Pegawai Daerah Belait.
Turut hadir, Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman, Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Penghulu Mukim Bukit Sawat; Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Ketua Kampung Bukit Sawat, Daerah Belait; serta Yang Mulia Awang Mohamad Aliyani bin Ismail, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohd Ridaudin bin Ramli, Pemangku Imam Masjid Kampung Bukit Sawat, Daerah Belait. Diikuti dengan Tadarus Al-Quran, bacaan Tahlil, dan Doa Arwah.
Majlis Bertadarus sempena Bulan Ramadan di Masjid-Masjid Daerah Belait Tahun 1447H / 2026M adalah juga sebagai wadah memperkukuhkan keimanan, menyemarakkan kecintaan terhadap Al-Qur'an serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pegawai dan kakitangan Jabatan-Jabatan Kerajaan dengan jemaah masjid serta penduduk kampung di sekitarnya.