Jerudong, Rabu, 21 Ramadan 1447 bersamaan 11 Mac 2026–Sempena bulan Ramadan yang mubarak dan penuh keberkatan ini, Majlis Bertadarus Al-Quran giat diimarahkan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara bagi menyemarakkan lagi suasana ibadah di bulan yang mulia ini. Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong pagi tadi mengendalikan Majlis Khatam Al-Quran Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Senegara Sempena Tadarus Al-Quran di Bulan Ramadan Kali Ke-11 bagi Tahun 1447H/2026M bertempat di Masjid berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.
Majlis tersebut bertujuan menyemai dan menyuntik semangat cintakan kitab suci Al-Quran dalam kalangan para belia dan beliawanis, di samping menggalakkan mereka untuk menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai amalan seharian serta memperbanyakkan amalan ibadah dan kebajikan, khususnya dalam bulan Ramadan yang mubarak ini. Majlis ini juga dihasratkan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan ahli kumpulan belia dan beliawanis masjid di seluruh negara, sekali gus menyemarakkan masjid dengan pelbagai aktiviti keagamaan ke arah merealisasikan hasrat menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.
Atur cara majlis diisikan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah khusus bagi paduka ayahanda dan bonda serta anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman; serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.
Diharapkan dengan pengendalian acara seumpama ini dapat membudayakan amalan membaca Al-Quran secara berterusan dalam kehidupan seharian, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mubarak dan penuh keberkatan ini.