Bandar Seri Begawan, Isnin, 19 Ramadan 1447 bersamaan 09 Mac 2026-Dalam usaha memelihara serta mengembangkan syiar Islam dan warisan Islam, khususnya dalam bidang seni bacaan Al-Quran, Ahli Jawatankuasa Takmir Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong dengan kerjasama Rabitah Al-Qurra' Negara Brunei Darussalam pagi tadi menganjurkan Haflah Al-Quran Sempena Nuzul Al-Quran 1447H/2026M bagi Qari dan Qariah Kebangsaan yang pernah menyertai pelbagai musabaqah Al-Quran, sama ada dalam dan luar negara.
Tujuan utama acara ini adalah sebagai wadah rasmi yang menghimpunkan para Qari dan Qariah dari seluruh negara di bawah satu platform yang teratur, profesional serta inklusif. Inisiatif ini juga selaras dengan aspirasi negara yang berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
Semoga dengan adanya acara seumpama ini akan memberi impak yang positif dan berpanjangan dalam melahirkan generasi Qari dan Qariah yang berkualiti, berwibawa serta berdaya saing, sekali gus memperkukuh kedudukan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang sentiasa memartabatkan Al-Quran dan syiar Islam.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Mustafa bin Haji Murat, Pegawai Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah' Kiarong.