Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PUSAT DA'WAH ISLAMIAH TERUS KENDALIKAN MAJLIS BERTADARUS BERSAMA MUALLAF DI KAMPUNG KIUDANG, DAERAH TUTONG

09 March 2026

PUSAT DA'WAH ISLAMIAH TERUS KENDALIKAN MAJLIS BERTADARUS BERSAMA MUALLAF DI KAMPUNG KIUDANG, DAERAH TUTONG

Tutong, Isnin, 19 Ramadan 1447 bersamaan 09 Mac 2026-Bagi mencerminkan keprihatinan serta tanggungjawab bersama dalam membimbing dan memperkasa jati diri Muslim dalam kalangan Muallaf agar terus istiqamah menghayati ajaran Islam, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama pada petang tadi meneruskan Program Bertadarus Al-Qur'an, Bersungkai serta Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir bersama Muallaf bertempat di Persatuan Badan Kebajikan Saudara-saudara Baru Kiudang Mungkom (BASKIM), Kampung Kiudang, Daerah Tutong.

Hadir selaku ketua rombongan ialah Yang Mulia Awang Isham bin Ismail, Pemangku Penguasa Dakwah dan Tabligh, Pusat Da'wah Islamiah.  Rombongan tersebut turut disertai oleh warga daripada Bahagian Dasar dan Latihan serta Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan Tadarus Al-Qur'an dan disusuli dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.  Majlis diakhiri dengan Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isya' berjemaah, dan kemudiannya Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir berjemaah.

Program Bertadarus Al-Qur'an, Bersungkai dan Sembahyang Sunat Tarawih serta Witir berjemaah  bersama Muallaf ini bertujuan memperkukuh penghayatan Ramadan dalam kalangan saudara baharu melalui pengisian ibadah secara berjemaah dan bimbingan amali yang berterusan. Selain membantu para Muallaf mendalami bacaan ayat-ayat Al-Qur'an serta menghayati amalan qiyam Ramadan dengan lebih yakin dan sempurna, program ini juga menjadi wadah untuk mengeratkan ukhuwah serta memupuk rasa kebersamaan.​