Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS IFTAR RAMADAN ANAK-ANAK YATIM PERSEKOLAHAN ARAB DAN UGAMA  TAHUN 1447H / 2026M

09 March 2026

MAJLIS IFTAR RAMADAN ANAK-ANAK YATIM PERSEKOLAHAN ARAB DAN UGAMA TAHUN 1447H / 2026M

Gadong, Isnin, 19 Ramadan 1447 bersamaan 09 Mac 2026–Dalam sama-sama mengambil berat serta menzahirkan sikap prihatin terhadap kebajikan anak-anak yatim dan yang memerlukan di negara ini, Hotel Antarabangsa Rizqun dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama lewat petang tadi mengadakan Majlis Iftar Ramadan bersama anak-anak yatim dan golongan memerlukan yang terdiri daripada para pelajar persekolahan Arab dan Ugama bagi tahun 1447H/2026M. Majlis tersebut diadakan di Songket Ballroom, hotel berkenaan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dan isteri. 

Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan;  Yang Mulia Dayang Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dr Siti Norkalbi bin Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama serta pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, Surah Yasin, Tahlil serta Doa Arwah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Zamery Haji Nayan dari Jabatan Pengajian Islam. 

Majlis diteruskan dengan penyerahan sumbangan derma kepada seramai 184 orang pelajar sekolah Arab dan Ugama yang terdiri daripada golongan anak-anak yatim dan pelajar memerlukan.  Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, dan turut disusuli oleh wakil Abdul Razak Holding serta para tetamu dan hadirin yang lain. 

Majlis tersebut merupakan salah satu amal infaq oleh pihak Abdul Razak Holding bersempena mengambil keberkatan bulan Ramadan.  Inisiatif ini secara tidak langsung dihasratkan membantu meringankan beban perbelanjaan anak-anak yatim menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, di samping bersama-sama mendoakan mereka yang telah kembali ke rahmatullah khususnya ibu bapa dan penjaga anak-anak yatim serta umat Islam amnya.​