Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei, telah mengeluarkan keputusan peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) bagi tahun 1446H / 2025M.
a. Keterangan Pencapaian:
- Secara keseluruhan, seramai 5,474 calon telah menduduki peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) tahun 1446H / 2025M. Daripada jumlah tersebut, seramai 4,884 orang adalah calon sekolah dan 590 orang adalah calon bukan sekolah.
- Daripada seramai 4,884 orang calon sekolah, 3,766 orang calon telah lulus dengan peratus pencapaian sebanyak 77.11% iaitu meningkat sebanyak 8.77% berbanding pencapaian calon tahun 2024M.
- Daripada jumlah tersebut, seramai 3,172 orang calon (64.95%) memperoleh pangkat 1, iaitu meningkat sebanyak 4.38% berbanding pencapaian calon tahun 2024M; pangkat 2 seramai 487 orang calon (9.97%), iaitu meningkat sebanyak 2.94% berbanding pencapaian calon tahun 2024M; dan 107 orang calon (2.19%) memperoleh pangkat 3, iaitu meningkat sebanyak 1.46% berbanding pencapaian calon tahun 2024M.
- Sementara itu, 38 daripada 138 buah sekolah / pusat peperiksaan yang mendaftar bagi peperiksaan ini iaitu 27.54% telah berjaya memperoleh pencapaian 100% lulus, iaitu meningkat sebanyak 6.49% berbanding pencapaian tahun 2024M.
b. Guru-guru Besar Sekolah Ugama yang berkenaan bolehlah mengambil keputusan dan slip pernyataan keputusan calon bagi sekolah masing-masing pada hari Isnin, 19 Ramadan 1447 bersamaan 09 Mac 2026 di pejabat Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam bertempat di aras bawah, bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis pada waktu pejabat dibuka.
c. Calon-calon sekolah yang telah menduduki peperiksaan tersebut bolehlah mendapatkan slip pernyataan keputusan mereka di sekolah ugama masing-masing.
d. Manakala bagi calon-calon persendirian bolehlah mendapatkan slip pernyataan keputusan mereka di pejabat Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam bertempat di aras bawah, bangunan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis pada waktu pejabat dibuka.
e. Bagi calon-calon peperiksaan, ibu bapa / penjaga yang ingin mendaftar untuk mendapatkan keputusan peperiksaan melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), bolehlah berbuat demikian melalui perkhidmatan SMS menggunakan telefon bimbit dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) NOMBOR PUSAT PEPERIKSAAN (jarak) NOMBOR INDEKS CALON dan hantar ke 8885555 bagi pelanggan DST atau 38666 bagi pelanggan Progresif Sdn Bhd atau 39966 bagi pelanggan Imagine. Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan kepada pelanggan melalui SMS tanpa sebarang kos kepada pelanggan.
f. Keputusan peperiksaan SMS hanya akan dihantar kepada pelanggan yang mendaftar dengan dikenakan caj bayaran B$1.00 bagi setiap keputusan peperiksaan SMS yang diterima. Sehubungan dengan itu, dipohonkan kepada para pelanggan agar dapat memastikan telefon bimbit masing-masing mempunyai kredit yang mencukupi.