Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

IFTAR MAHABBAH 1447H/2026M

05 March 2026

IFTAR MAHABBAH 1447H/2026M

Kiarong, Khamis, 15 Ramadan 1447 bersamaan 05 Mac 2026-Bagi menzahirkan kepada masyarakat non-Muslim bahawa agama Islam merupakan agama yang mementingkan hubungan silaturahim serta berbuat baik sesama insan walaupun berbeza agama dan bangsa, di samping menyampaikan maklumat yang tepat serta membetulkan sebarang kesalahfahaman mengenai Islam, Belia Muallaf As-Syahadah di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi mengungkayahkan Program Iftar Mahabbah 1447H/2026M bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei.

Program Iftar Mahabbah 1447H/2026M juga bertujuan memberi peluang kepada non-muslim untuk melihat masjid secara lebih dekat serta mengetahui amalan ibadat yang dilaksanakan oleh umat Islam seperti berwudhu' dan menunaikan sembahyang, di samping mengadakan sesi soal jawab bagi menjawab sebarang kemusykilan mereka mengenai agama Islam.

Selain itu, program turut memberi kesempatan kepada masyarakat non-muslim untuk merasai sendiri pengalaman iftar atau berbuka puasa bersama di bulan Ramadan yang penuh keberkahan ini.

Program ini juga merupakan salah satu metodologi dakwah secara hikmah kepada non-muslim serta melengkapi pemandu pelancong dengan pengetahuan asas dakwah agar dapat menyampaikan maklumat yang tepat dan berhemah mengenai Islam.

Terdahulu, dalam sesi Program Masjid Tour, acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, diikuti ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Belia Muallaf As-Syahadah. Disusuli dengan taklimat ringkas mengenai Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah sebelum sesi lawatan sekitar masjid (Masjid Tour).

Seterusnya, acara Iftar Mahabbah 1447H/2026M dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat. Disusuli, bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an berserta tafsirannya. Acara turut diisikan dengan penerangan ringkas mengenai Ibadah Puasa dan Fadhilatnya. Diakhiri dengan bersungkai dan menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah.

 

Foto: PDI​​