Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

TADARUS AL-QUR’AN ERATKAN SILATURRAHIM PUSAT DA'WAH ISLAMIAH BERSAMA MUALLAF

05 March 2026

TADARUS AL-QUR’AN ERATKAN SILATURRAHIM PUSAT DA'WAH ISLAMIAH BERSAMA MUALLAF

Belait, Khamis, 15 Ramadan 1447 bersamaan 05 Mac 2026-Dalam usaha mengajak para Muallaf untuk sama-sama mengimarahkan masjid, surau, balai ibadat, pos da'wah serta rumah kegiatan ugama di kawasan masing-masing, di samping menyemarakkan bulan Ramadan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an dan berzikir, lewat petang tadi Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan kunjungan bagi mengadakan Majlis Tadarus Al-Qur'an, Bersungkai dan Menunaikan Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir Berjemaah bersama Muallaf Persatuan Sinar Islam bertempat di Bangunan Persatuan Sinar Islam, Jalan Setia Diraja, Kuala Belait.

Rombongan Pusat Da'wah Islamiah diketuai oleh Yang Mulia Pengiran Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah. Rombongan berkenaan turut disertai oleh pegawai dan kakitangan daripada Bahagian Pengembangan Da'wah dan Pembangunan Muallaf, Pusat Da'wah Islamiah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah. Diikuti dengan Tadarus Al-Qur'an dan disusuli dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.  Acara diakhiri dengan Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isya' serta Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir berjemaah.

Aktiviti seumpama ini juga bertujuan mengajak para Muallaf untuk sama-sama menghayati bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan ibadat seperti membaca Al-Qur'an dan menunaikan sembahyang secara berjemaah, di samping untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara warga Pusat Da'wah Islamiah dan para Muallaf di negara ini.

Pengendalian aktiviti tersebut turut mencerminkan keprihatinan serta tanggungjawab bersama dalam membimbing serta memperkasa jati diri Muslim dalam kalangan Muallaf agar terus istiqamah dalam menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dengan penuh keyakinan dan kesungguhan.

 

Foto: PDI​