Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS SEMARAK HARI KEBANGSAAN SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN  HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-42, TAHUN 2026  ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA

28 February 2026

MAJLIS SEMARAK HARI KEBANGSAAN SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-42, TAHUN 2026 ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA

Berakas, Sabtu, 10 Ramadan 1447 bersamaan 28 Februari 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama terus komited memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kefahaman tentang sejarah negara dan menyuburkan semangat patriotisme serta kecintaan rakyat kepada negara. Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama pagi tadi menganjurkan Majlis Semarak Hari Kebangsaan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Penganjuran majlis ini juga bertujuan untuk menggalakkan wacana ilmiah dan diskusi terbuka melalui platform dialog yang berilmiah dan beradab antara ahli sejarah, tenaga akademik, pegawai kerajaan, pemimpin akar umbi dan golongan pelajar untuk bertukar pandangan secara konstruktif.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd. Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Atur cara dimulakan dengan menyanyikan lagu Kebangsaan Allah Peliharakan Sultan beramai-ramai. Dikuti dengan bacaan Sayyidul Istigfar, Surah Al-Fatihah dan Doa oleh Yang Mulia Awang Muhammad Abdul Haziq bin Hanafi, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah. Seterusnya, Ucapan Alu-aluan oleh Pengerusi Bersama Semarak Hari Kebangsaan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah selaku Pengerusi Bersama Majlis Semarak Hari Kebangsaan Ke-42 Tahun anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis diteruskan dengan Ucapan Pendahuluan “Pesan Nini Kepada Cucu Tentang Kemerdekaan (Puisi 42 Tahun Merdeka)" oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. Antara rangkap puisi Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama:

“….Sebuah kedaulatan mahkota negeri berpasak bertiang dengan payungnya lalu bis nini membulatkan hati memulangkan sirih ke gagangnya memulangkan pinang ke tampuknya.

Itulah Brunei tanah air kita merdekanya bukan saja-saja kerananya bis nini bahauman di Padang Mentakbirkannya tiada walang menyambutnya dengan syukur calak Brunei bentuk rupanya terang dirantang jelas disebut negara MIB takah dan takuknya kena dengan demokratiknya tentu dengan dasar ajarannya Islam ahlissunnah Wal Jama'ah pegangan. "

Acara kemuncak majlis ialah Sesi Bual Bicara Hari Kebangsaan bertajuk "Mempertahankan Kedaulatan Negara: Menelusuri Era Lindungan British dan Pembentukan Jati Diri Brunei" yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Mohd. Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos, Yang Di-Pertua Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR). Manakala, Yang Mulia Awang Haji Mohd Jaya bin Haji Metussin selaku Moderator.

Antara nota utama yang disampaikan dalam sesi Bual Bicara tersebut ialah mengenai:

1. Sultan sebagai Sauh (The Sultan as the Anchor): Ditegaskan bahawa sepanjang zaman British, Sultan kekal sebagai autoriti tertinggi dalam perkara Melayu Islam Beraja (MIB). British berurusan dengan kerajaan; mereka tidak menggantikan kedaulatan.

2. Islam sebagai Pembentung (Islam as the Buffer): Pihak British tidak pernah cuba mengkristiankan atau membaratkan struktur sosial Brunei. Ini sangat berbeza dengan pengalaman jajahan tetangga. Keadaan ini membolehkan Islam terus kekal sebagai sumber undang-undang dan nilai moral yang tidak dipertikaikan. Islam merupakan benteng utama dan seterusnya menjadi cara kehidupan walaupun di bawah pemerintahan British, Brunei kekal sebagai sebuah negara Islam.

3. “Kekecualian Brunei" (The “Brunei Exception"): Rangkalkan kisah ini sebagai suatu pengecualian di Asia Tenggara. Ketika bangsa lain mengalami kehilangan identiti budaya, status negeri lindungan Brunei adalah satu usaha untuk melindungi kedaulatan, bukan menyerahkannya dan untuk mengekalkan status negara sebagai Negara Melayu Islam Beraja.

Acara diteruskan dengan Bacaan Selawat Tafrijiyyah oleh mahasiswa daripada Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Majlis pagi tadi turut dimeriahkan dengan kehadiran antaranya para penghulu dan ketua kampung, mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, para pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan sekolah-sekolah Arab serta pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta Jabatan Pusat Sejarah. Juga belia-belia masjid dan Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta institusi-institusi pengajian tinggi yang lain.

Majlis Semarak Hari Kebangsaan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 dikendalikan bersama oleh Pusat Da'wah Islamiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Bahagian Dasar dan Strategik dan Bahagian Pendakwa Syarie, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

 

​Foto: PB