Bandar Seri Begawan, Jumaat, 09 Ramadan 1447 bersamaan 27 Februari 2026–Puasa di bulan Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga peluang memperbaiki gaya hidup sihat. Pemilihan makanan yang tepat ketika sahur dan berbuka memberi kesan besar terhadap tahap tenaga sepanjang hari. Sahur yang lengkap dengan karbohidrat, protein, sayur-sayuran dan buah-buahan membantu mengawal rasa lapar. Semasa berbuka, amalan makan secara perlahan dan tidak berlebihan dapat mengelakkan gangguan sistem penghadaman. Dengan amalan pemakanan sihat dan gaya hidup teratur, Ramadan dapat dilalui dengan tubuh yang sihat serta ibadah yang lebih berkualiti.
Perkara tersebut antara intipati Tazkirah Subuh bertajuk Penjagaan Kesihatan dan Permakanan Sewaktu Berpuasa di Bulan Ramadan yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Waajidun Ni'am bin Haji Dollah, Pegawai Pelajaran Kesihatan, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan bagi menyerikan Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' yang diadakan pada awal pagi tadi di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Program dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Wirid serta Tazkirah Subuh.
Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak umat Islam di negara ini agar memakmurkan masjid melalui amalan beribadah secara berjemaah, pengajian ilmu dan pelaksanaan aktiviti keagamaan. Di samping membentuk masyarakat yang berdisplin, bertanggungjawab serta saling menghormati, program ini juga berperanan menanam rasa cinta terhadap masjid sebagai rumah Allah. Selain itu, untuk memupuk semangat Negara Zikir dan Negara Berkat melalui penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara berasaskan nilai-nilai Islam.




Foto: JHEM