Rimba, Selasa, 06 Ramadan 1447 bersamaan 24 Februari 2026–Bagi sama-sama memeriahkan dan menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026, sekolah-sekolah Arab di seluruh negara turut mengadakan pelbagai aktiviti bagi menyemai dan memperkukuhkan rasa kecintaan kepada negara serta semangat patriotisme dalam kalangan warga sekolah.
Pada pagi tadi, warga Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Rimba mengambil bahagian dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 yang diadakan di sekolah berkenaan.
Acara dimulakan dengan upacara menaikkan bendera negara dan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan'. Diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan doa.
Acara diteruskan dengan tayangan rakaman Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026, disusuli dengan bacaan ikrar dan diakhiri dengan laungan takbir.