Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MARHABAN YA RAMADHAN ANJURAN PEJABAT CAWANGAN DA’WAH DAERAH TUTONG

21 February 2026

MARHABAN YA RAMADHAN ANJURAN PEJABAT CAWANGAN DA’WAH DAERAH TUTONG

Tutong, Sabtu, 03 Ramadhan 1447 bersamaan 21 Februari 2026-Seramai 40 orang Muallaf di Daerah Tutong menyertai Program Marhaban Ya Ramadhan bersempena menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini.

Program Marhaban Ya Ramadhan membawa maksud 'Selamat Datang Bulan Ramadhan' dan dianjurkan oleh Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong. Program ini bertujuan untuk menggalakkan dan memberi pendedahan kepada para Muallaf agar dapat menghayati kedatangan bulan Ramadhan. Penekanan diberikan kepada kefahaman tentang hikmah dan manfaat ibadah puasa di samping kelebihan memperbanyakkan amalan sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini, selaras dengan kedudukannya sebagai salah satu rukun Islam.

Program Marhaban Ya Ramadhan diisi dengan ceramah bertajuk 'Andai ini Ramadhanku Yang Terakhir' disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Siti Noraziah binti Haji Asli, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong.

Intipati ceramah antara lain menyarankan kepentingan menghidupkan roh Al-Qur'an dalam bulan Ramadhan sebagai bulan penurunan Al-Qur'an dengan menggalakkan umat Islam memperbanyakkan bacaan kerana setiap huruf yang dibaca dijanjikan pahala berlipat ganda.  Ceramah turut menekankan persediaan rohani dan mental dalam mencari Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, di samping menghayati akhlak mulia dan sifat ihsan melalui keprihatinan, sedekah serta bantuan kepada yang memerlukan. Selain itu, para peserta diingatkan agar menjaga lisan daripada melakukan fitnah, umpatan, dan perkara sia-sia, hendaklah memperbanyakkan zikir dan bacaan Al-Qur'an, serta menjadikan ibadah puasa sebagai latihan membentuk sifat sabar yang membawa ganjaran tanpa batas daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah; Yang Mulia Pengiran Jufri bin Pengiran Haji Hidop, Ketua Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah; Yang Mulia Dayang Zikrinaidah binti Haji Mat Dikir, Ketua Cawangan Da'wah Daerah Tutong serta para pegawai dan kakitangan Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong.​