Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK FATHUL BARAKAH 7.0  BAGI GOLONGAN MUALLAF DAERAH BELAIT

16 February 2026

MAJLIS PENYERAHAN PROJEK FATHUL BARAKAH 7.0 BAGI GOLONGAN MUALLAF DAERAH BELAIT

Belait, Isnin, 28 Syaaban 1447 bersamaan 16 Februari 2026–Projek Fathul Barakah 7.0 diungkayahkan sebagai satu sarana dakwah bagi memeduli kesejahteraan kehidupan para asnaf Muallaf, di samping membantu meringankan beban saudara-saudara baharu dalam membuat persiapan menyambut ketibaan bulan Ramadan yang bakal menjelang.

Pada pagi tadi, Pusat Da'wah Islamiah melalui Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Belait, dengan kerjasama Persatuan Sinar Islam meneruskan lagi pelaksanaan Majlis Penyerahan Projek Fathul Barakah 7.0 dalam usaha memeduli golongan Muallaf di Daerah Belait.

Majlis penyerahan sumbangan berupa keperluan makanan asasi ini telah dilaksanakan secara pandu lalu bertempat di Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Belait kepada seramai 20 buah keluarga Muallaf.

Penyampaian sumbangan berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Mohamad Aliyani bin Ismail, Ketua Pegawai Ugama, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait.

Projek Fathul Barakah 7.0 bagi memeduli golongan Muallaf adalah inisiatif keprihatinan berterusan terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan Muallaf di negara ini sekali gus menggalakkan serta memupuk sifat suka beinfak dalam kalangan orang ramai. Ianya juga mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan para Muallaf sentiasa diberi bimbingan dan sokongan berterusan agar saudara-saudara baharu dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai seorang Muslim di samping memperkasa kefahaman serta penghayatan mereka terhadap ajaran Islam. ​