Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 26 Syaaban 1447 bersamaan 14 Februari 2026–Tujuh puluh tahun dahulu, tepatnya pada 1hb Januari 1956, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) telah ditubuhkan sebagai badan pembuat dasar untuk menentukan hala tuju pentadbiran Ugama Islam di negara ini. Tafsiran dalam Perlembagaan Negara menyebutkan “Majlis Ugama Islam bermakna Majlis Ugama Islam yang ditubuhkan menurut Bahagian II dari Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi (Penggal 77).
Dalam Perlembagaan Negara Brunei Darussalam, Bahagian II mengenai Ugama dan Adat Istiadat, Perkara 3 (3) menyebutkan bahawa “Majlis Ugama Islam adalah badan yang bertanggungjawab untuk menyembahkan nasihat ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan mengenai semua perkara yang berhubung dengan Ugama Islam.
Seterusnya Perkara 3 (4) Perlembagaan menyebutkan bahawa Bagi maksud perkara ini – maksud perkara 3 (3) – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan, boleh setelah berunding dengan Majlis Ugama Islam, tetapi tidak semestinya mengikut nasihat Majlis itu, membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang berhubung dengan Ugama Islam.
Dimaklumi dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan menyebutkan bahawa Ugama Rasmi bagi Negara Brunei Darussalam adalah Ugama Islam. Tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan sempurna oleh mereka yang mengamalkannya.
Perkara tersebut antara yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei semasa berucap pada Majlis Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-219 sempena Penubuhan Majlis Ugama Islam, Negara Brunei Darussalam Ke-70 Tahun yang diadakan secara fizikal pada petang tadi bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Hadir sama, di majlis ini ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Ahli Majlis Ugama Islam Brunei; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie selaku Ahli Majlis Ugama Islam Brunei dan Ahli-Ahli Majlis Ugama Islam Brunei yang lain serta Ahli-Ahli Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam Brunei, dan juga warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Juga menyertai secara maya ialah murid-murid dan tenaga pengajar dari sekolah-sekolah Ugama seluruh negara.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei.
Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei.
Majlis diserikan dengan Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan selaku Ahli Majlis Ugama Islam Brunei. Tazkirah antara lain menjelaskan bahawa Bulan Ramadhan ialah bulan yang membuka peluang kepada kita semua untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan memperbanyakkan ibadah dan amal Kebajikan semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Subhanah Wa Ta'ala. Dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud bahawa “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.
Seterusnya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dr. Haji Awang Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad, Pengarah Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, selaku Ahli Majlis Ugama Islam Brunei.
Sejurus selesai Ucapan Khas oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei, Selawat Tafrijiyyah sebanyak 3 kali dilaungkan beramai-ramai dipimpin oleh wakil daripada Majlis Ugama Islam Brunei dan wakil Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam bagi mengakhiri acara.