Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENYERAHAN SURAT LANTIKAN IMAM SEMBAHYANG SUNAT TARAWIH  BAGI TAHUN 1447H / 2026M

14 February 2026

MAJLIS PENYERAHAN SURAT LANTIKAN IMAM SEMBAHYANG SUNAT TARAWIH BAGI TAHUN 1447H / 2026M

Bandar Seri Begawan, 26 Syaaban 1447 bersamaan 14 Februari 2026–Dalam usaha menyemarakkan amalan ibadah sepanjang bulan Ramadan, khususnya pelaksanaan Sembahyang Sunat Tarawih secara berjemaah di masjid-masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah pagi tadi mengadakan Majlis Penyampaian Surat Lantikan Imam Sembahyang Sunat Tarawih bagi Tahun 1447Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Asminan bin Haji Chuchu, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Seramai 195 orang telah dilantik sebagai Imam Sembahyang Sunat Tarawih bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi. Daripada jumlah tersebut adalah daripada kalangan pegawai masjid dan tenaga pengajar, penuntut, serta lepasan penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Lepasan yang terlibat merangkumi mereka yang sedang berkhidmat dalam sektor kerajaan dan sektor swasta serta yang sedang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di dalam dan luar negara. Kesemua imam yang dilantik akan ditempatkan di 77 buah masjid seluruh negara.

Surat Lantikan Imam Tarawih telah disampaikan oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Awang Haji Asminan bin Haji Chuchu, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid dan Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Terdahulu, para penerima sijil lantikan telah menghadiri sesi taklimat rasmi berhubung tatacara pelaksanaan sembahyang sunat Tarawih sebagai persediaan bagi memastikan kelancaran dan keseragaman pelaksanaannya.

Penempatan Imam Tarawih dalam kalangan penuntut dan lepasan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini bertujuan memberi peluang kepada mereka untuk mengulangkaji dan memantapkan hafazan Al-Quran, di samping menimba pengalaman dan memperkukuh keyakinan sebagai Imam. Penglibatan mereka di masjid-masjid yang telah ditetapkan diharap akan dapat menarik lebih ramai jemaah untuk menunaikan Sembahyang Sunat Tarawih secara berjemaah. Inisiatif ini juga merupakan antara Langkah berterusan dalam memperkasa peranan anak tempatan, khususnya golongan belia, dalam usaha mentakmir dan mengimarahkan masjid sepanjang bulan Ramadan.

 

Foto: JHEM​