Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP BENGKEL TARANNUM AL-QUR'AN TAHUN 1447 HIJRAH/ 2026 MASIHI

14 February 2026

MAJLIS PENUTUP BENGKEL TARANNUM AL-QUR'AN TAHUN 1447 HIJRAH/ 2026 MASIHI

Berakas, Sabtu, 26 Syaaban 1447 bersamaan 14 Februari 2026–Dalam usaha memperkasa bacaan para Qari dan Qariah Negara Brunei Darussalam melalui kaedah bacaan serta variasi lagu Al-Qur'an yang lebih segar dan berbeza daripada yang lazim diajarkan dan diketengahkan di Nusantara, serta untuk mengenal pasti kekuatan dan ruang penambahbaikan dalam bacaan bertarannum, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Kemajuan Syiar Islam telah menganjurkan Bengkel Tarannum Al-Qur'an.

Bengkel ini diadakan bersempena Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M yang dijadual akan diadakan pada penghujung bulan April 2026. Bengkel Tarannum Al-Qur'an tersebut telah dilaksanakan selama lima (5) hari berturut-turut bermula 22 hingga 26 Syaaban 1447H bersamaan 10 hingga 14 Februari 2026, bertempat di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Seramai 25 orang telah menyertai bengkel ini, terdiri daripada 12 orang peserta yang akan bertanding dalam Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M, serta 13 orang peserta dari peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M yang memperoleh markah 85% ke atas bagi Qari dan 80% ke atas bagi Qariah.

Bengkel ini menjadi platform kepada para Qari dan Qariah negara mengikuti latihan secara bersemuka bersama pembengkel yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang bacaan Al-Qur'an. Melalui bengkel ini, setiap peserta berpeluang menilai dan meneliti serta memperhalusi  bacaan masing-masing secara terperinci, di samping menambah ilmu pengetahuan serta memperkukuh kefahaman dalam bidang tarannum serta pengajian Al-Qur'an.

Selain itu, bengkel ini juga diadakan sebagai persiapan awal para Qari dan Qariah bagi menghadapi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M, di samping memastikan mereka benar-benar bersedia untuk mempersembahkan bacaan yang mantap dan berkualiti tinggi serta menguasai teknik-teknik bacaan yang akan dipraktikkan dalam pertandingan berkenaan.

Bengkel ini telah dibimbing oleh pembengkel jemputan dari Malaysia, Yang Mulia Ustaz Che' Yahaya bin Daud, yang pernah menjadi hakim Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun 2015. Beliau juga sering dijemput sebagai hakim Majlis Tilawah Al-Qur'an di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia.

Majlis Penutup Bengkel telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Yang Mulia Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Dengan adanya bengkel ini, para Qari dan Qariah negara berpeluang memperkemas dan memantapkan mutu bacaan masing-masing khususnya dalam aspek tajwid, fashahah, lagu dan suara.

Adalah diharapkan agar usaha seumpama ini akan terus menjadi benteng kekuatan iman dan akidah Islam, seterusnya memperkasa, memperteguh dan menyatukan generasi bangsa supaya benar-benar memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran Al-Qur'an dalam kehidupan seharian.

 

Foto: SkiPPA BPAAM​