Katok, Sabtu, 26 Syaaban 1447 bersamaan 14 Februari 2026–Platform Digital Pendidikan dihasratkan dapat meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, di samping memudah cara pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar di persekolahan Arab dan Ugama.
Penyediaan platform tersebut merupakan kesinambungan usaha Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi menyediakan sekolah-sekolah dengan peralatan komputer, capaian internet dan prasarana yang lain bagi menyokong pelaksanaan pembelajaran secara Blended Learning di persekolahan Arab dan Ugama.
Sebanyak 21 buah sekolah ugama telah melaksanakan penggunaan Platform Digital Pendidikan pada tahun 2025, manakala 42 buah sekolah lagi menyusul pada tahun 2026. Dengan itu, jumlah keseluruhan sekolah ugama yang berjaya menerapkan penggunaan platform tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran masing-masing adalah sebanyak 63 buah sekolah.
Sehubungan itu, bagi menghargai usaha dan komitmen pihak sekolah dalam mendukung inisiatif Jabatan Pengajian Islam ke arah penyediaan pendidikan ugama yang berkualiti dan berinovatif kepada para pelajar di negara ini, satu Majlis Doa Kesyukuran dan Penghargaan telah diadakan di Auditorium Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampong Katok, petang tadi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Sabarina binti Haji Ajak, Pemangku Pengarah Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi yang turut menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah kepada sekolah-sekolah yang diraikan serta para pemenang pertandingan kuiz yang diadakan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis, Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Diteruskan dengan penyampaian sijil oleh Tetamu Kehormat; pertandingan kuiz; tayangan video; dan lawatan ke pameran Platform Digital Pendidikan.