Berakas, Khamis, 24 Syaaban 1447 bersamaan 12 Februari 2026–Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah, Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah bersidang pada petang tadi bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Seperti lazimnya, mesyuarat berkenaan diadakan bagi membincangkan kertas kerja Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara sepanjang tahun 1448 Hijrah, yang merangkumi penganjuran program-program berikut:
• Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun Hijrah Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah;
• Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1448 Hijrah Peringkat Negara;
• Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah;
• Majlis Perhimpunan Khas Wanita Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah;
• Majlis Sambutan Isra' dan Mi'raj Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah; dan
• Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur'an Peringkat Negara bagi Tahun 1448 Hijrah; serta
• Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi.
Antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah cadangan tema bagi setiap Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah/2027 Masihi, tarikh dan tempat mengadakan majlis, pengendali-pengendali bersama majlis, atur cara utama, perancangan acara-acara iringan, serta lantikan Ahli Jawatankuasa Bertindak, Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa Kerja yang akan mengendalikan penganjuran majlis-majlis berkenaan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama Selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah.
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa oleh Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama. Diikuti dengan Ucapan daripada Pengerusi Mesyuarat, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Hadir sama dalam Mesyuarat tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan; Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Haji Md. Said; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap KementerianKementerian serta Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam di Negara Brunei Darussalam akan terus disambut secara besar-besaran. Selain pelbagai acara keugamaan yang dikendalikan oleh kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan berkaitan serta di masjid-masjid, surau-surau, dan balai-balai ibadat seperti bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun Hijrah, sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam juga diraikan di peringkat negara melalui penganjuran pelbagai majlis dan program yang telah dirancang.
Pihak Jawatankuasa berharap agar Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan sepanjang tahun 1448 Hijrah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, tersusun dan sempurna, serta diisi dengan acara-acara yang bermanfaat. Ini bertujuan untuk mengasuh dan memupuk semangat cintakan Allah Subhanahu Wa Ta'ala, cintakan Rasul Shallallahu 'Alaihi Wasallam, cintakan ugama dan raja oleh seluruh rakyat dan penduduk, di samping meningkatkan lagi keimanan umat Islam khususnya di Negara Brunei Darussalam.