Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENGAGIHAN BENDERA KECIL MEJA DAN PROGRAM SEMARAK PENGIBARAN BENDERA SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-42, TAHUN 2026

12 February 2026

MAJLIS PENGAGIHAN BENDERA KECIL MEJA DAN PROGRAM SEMARAK PENGIBARAN BENDERA SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE-42, TAHUN 2026

Katok, Khamis, 24 Syaaban 1447 bersamaan 12 Februari 2026–Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan Jabatan Pendidikan Swasta dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan mengadakan Majlis Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera bagi sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026. 

Majlis tersebut diadakan pada pagi tadi secara serentak di keempat-empat buah daerah. Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok. 

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis berkenaan, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama yang seterusnya menyempurnakan penyerahan bendera kecil meja kepada para pelajar sekolah berkenaan. 

Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal. 

Acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan', diikuti dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa.  Seterusnya, Ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Md Zinin, Pemangku Pengetua Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok.

Majlis diteruskan dengan pengagihan bendera kecil meja.  Seterusnya, bacaan ikrar oleh para pelajar sekolah sebelum diakhiri dengan persembahan koir lagu-lagu patriotik.  

Penganjuran majlis seumpama ini bertujuan untuk menyemai dan memperkukuhkan semangat kecintaan kepada negara serta patriotisme dalam kalangan warga sekolah, khususnya para pelajar, di samping memupuk jati diri dan semangat perpaduan selaras sengan aspirasi negara bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42.  ​