Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROJEK FATHUL BARAKAH 7.0 MEMEDULI GOLONGAN MUALLAF

11 February 2026

PROJEK FATHUL BARAKAH 7.0 MEMEDULI GOLONGAN MUALLAF

Temburong, Rabu, 23 Syaaban 1447 bersamaan 11 Februari 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Da'wah Islamiah dengan kerjasama Persatuan Saudara-Saudara Baru Negara Brunei Darussalam mengungkayahkan Projek Fathul Barakah 7.0 bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadan 1447 Hijrah.

Projek Fathul Barakah 7.0 bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk sama-sama memberi infak jariah berupa makanan asasi kepada Asnaf Muallaf yang memerlukan. 

Majlis Penyerahan Projek Fathul Barakah 7.0 bagi Muallaf Daerah Temburong diadakan pada pagi tadi bertempat di Dewan Serbaguna, Program Khidmat Bakti Negara, Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong.

Di majlis tersebut, seramai 30 buah keluarga Muallaf Daerah Temburong telah menerima sumbangan bantuan berupa makanan asasi yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara juga selaku Ketua Kampung Labu Estet dan Piasau-Piasau, Daerah Temburong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Haji Mokhsin bin Mohd Karim, Pemangku Imam. Diikuti dengan Ucapan Alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, yang antara lain, beliau mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang awam di atas sambutan yang menggalakkan dalam projek Fathul Barakah kali ini.

Majlis diteruskan lagi dengan Penyerahan Surat Bantuan Makan dan Minum Program Bertadarus, Bersungkai dan Sembahyang Sunat Tarawih Bersama Muallaf 1447 Hijrah 2026 Masihi kepada 17 buah tempat yang terpilih terdiri daripada masjid-masjid, balai-balai ibadat, surau-surau dan rumah kegiatan ugama di Negara Brunei Darussalam, yang melibatkan para Muallaf di dalam aktiviti-aktiviti kendalian Pusat Da'wah Islamiah seperti Kelas Bimbingan Muallaf, majlis-majlis bersempena Hari-Hari Kebesaran Islam serta acara-acara keugamaan. Majlis pagi tadi diakhiri dengan bacaan Doa oleh Yang Mulia Haji Mokhsin bin Mohd Karim, Pemangku Imam.

Adapun tujuan projek ini diadakan adalah juga sebagai satu sarana da'wah dalam memeduli kesejahteraan Asnaf Muallaf bagi menjamin kehidupan yang lebih baik.  Ianya juga bertujuan untuk meringankan beban para Muallaf dalam membuat persiapan bagi menyambut kedatangan bulan Ramadan yang akan tiba.

Lebih daripada 640 set infak berjaya dikumpul melalui Projek Fathul Barakah 7.0 yang telah dikendalikan di keempat-empat daerah secara pandu lalu iaitu di Bangunan Darul Huda, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie pada 24 dan 25 Januari 2026.  Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Belait;  Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Tutong dan; Pejabat Cawangan Da'wah Daerah Temburong pada 26 dan 27 Januari 2026 yang lalu. 

Penyerahan infak akan diteruskan lagi oleh Bahagian Pembangunan Muallaf (Kebajikan Muallaf), Pusat Da'wah Islamiah dan Cawangan Da'wah Daerah-Daerah yang mana masing-masing akan mengunjungi ke beberapa buah rumah para Muallaf yang terpilih.


Foto: PDI